Izlaily Nurul Ain Hussein


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan dua kes penyeludupan minuman keras tidak bercukai bernilai RM135,316.97 dalam dua serbuan berasingan di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi dan Taman Austin, Johor Bahru minggu lalu.

Dalam kejadian pertama pada 2.45 petang, 16 September lalu, JKDM dengan dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan kapal kargo yang dipercayai berdaftar di Indonesia dekat perairan Tanjung Penyusop.

Pengarah JKDM Johor, Datuk Mohammad Hamiddan Maryani berkata, hasil pemeriksaan JKDM dan APMM ke atas kapal itu menemui beberapa kotak berbalut plastik hitam disembunyikan di ruang kargo kapal berkenaan.

“Hasil pemeriksaan rapi, kita mendapati kapal itu membawa 2,172 botol minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dengan nilai dagangan dianggar RM19,404 dan jumlah cukai RM94,416.17.

“Seramai 10 awak-awak warga Indonesia berusia antara 22 hingga 50 tahun ditahan untuk siasatan lanjut manakala kapal dan dagangan disita,” katanya pada sidang di Menara JKDM hari ini.

Turut hadir Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama (M) Aminuddin Abdul Rashid.

Menurut Mohammad Hamiddan, kes disiasat mengikut Seksyen 49(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(e) akta sama.

Sementara itu, dalam kejadian kedua pada hari sama 3.30 petang, Mohammad Hamiddan berkata, JKDM membuat pemeriksaan ke atas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di Taman Austin di sini.

Katanya, pemeriksaan menemui 1,200 tin terdiri daripada 50 karton minuman keras (bir) disyaki barang larangan.

“Nilai dagangan itu RM3,000 dengan jumlah cukai RM18,496.80.

“Kita juga menahan pemandu MPV itu yang juga warga tempatan berusia 40 tahun.

“Dia sudah didakwa di mahkamah, namun mengaku tidak bersalah sebelum mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM7,000,” katanya.

Bagi kes itu katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976.

Beliau berkata, siasatan lanjut bagi kedua-dua kes itu masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber dan pasaran minuman keras itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 1:31 PM
Mohammad Hamiddan (tiga dari kiri) menunjukkan arak yang dirampas JKDM Johor bersama APMM. FOTO Mohd Azren Jamaludin