GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas 1 Oktober ini bagi membincangkan tarikh penting pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai susulan kematian penyandangnya, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, Sabtu lalu.

Setiausahanya Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata,

mesyuarat itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun sebelum satu sidang media diadakan sejurus selesai mesyuarat.

Beliau berkata, mesyuarat adalah bagi membincangkan tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya terbabit.

“SPR hari ini sudah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dengan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Rakyat Kawasan Parlimen P165 Tanjung Piai, Johor.

“Mengikut peruntukan undang-undang, SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Allahyarham Dr Md Farid yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian 6 pagi Sabtu lalu dipercayai akibat serangan jantung.

Dr Md Farid yang juga Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng dengan memperolehi 21,255 undi.

Beliau adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diamanahkan untuk menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 1:40 PM