Skip this ad x
Sarah Zulkifli


KEPUTUSAN inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak terganggu dengan prosiding permohonan komital (menghina mahkamah) terhadap Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang difailkan keluarga anggota bomba itu.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili keluarga Muhammad Adib berkata, keputusan inkues pada Jumaat ini tetap diteruskan meskipun terdapat notis rayuan difailkan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 27 Ogos lalu yang membenarkan permohonan komital terbabit.

Menurut Haniff, Mahkamah Koroner adalah badan bebas serta prosiding komital terhadap Peguam Negara tidak akan menjejaskan keputusan inkues.

“Bagi mengelakkan orang ramai daripada terkeliru, keputusan inkues kematian Muhammad Adib dan prosiding komital terhadap Peguam Negara adalah dua perkara yang berbeza.

“Keputusan yang akan diberikan Koroner adalah penyebab kematian Muhammad Adib dan permohonan komital pula berkaitan perkara yang tercetus selepas Tommy mengeluarkan kenyataan yang anggota bomba itu tidak dipukul,” katanya kepada media selepas tamat pengurusan kes prosiding komital terhadap Tommy di luar Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, dalam prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy yang mewakili Peguam Negara memaklumkan mahkamah, pihaknya sudah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan yang membenarkan prosiding komital dimulakan.


MOHAMED Haniff ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Sairien Nafis.

Narkunabathy berkata, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memutuskan bahawa notis rayuan yang sebelum ini difailkan sebagai rayuan sivil ditukar kepada rayuan jenayah.

“Justeru, Mahkamah Koroner perlu menyediakan alasan penghakiman bertulis (keputusan membenarkan prosiding komital terhadap Peguam Negara) kepada Mahkamah Tinggi dan memohon supaya Mahkamah Koroner boleh bagi alasan penghakiman itu,” katanya.

Rofiah kemudiannya menetapkan 7 Oktober ini sebagai pengurusan kes komital terhadap Peguam Negara.

Pada 16 Julai lalu, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

Pada 3 April lalu, afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara itu yang disahkan oleh bekas Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah menyatakan bahawa kematian Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 3:17 PM