Amir Abd Hamid


IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib malang berrtimpa dihadapi Zamzarina Mohd Khalid, 29, dan keluarganya.

Tahun lalu, dia bersama suaminya, Muhammad Nasrul Ikhwan Nasir, 35, dan lima anak terpaksa berpindah dari rumah mereka di Kampung Padang Tengku, Kuala Lipis di Pahang untuk memberi laluan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pada Rabu lalu pula, rumah didiami dia sekeluarga antara yang dirobohkan di Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh untuk projek pelebaran Sungai Kedongdong.

Ia menyebabkannya bersama lima anak iaitu Nurshafizah Aina, 10, yang mengidap autisme dan hiperaktif, Nurfarisha Marliana, 7, kembar Muhammad Rayyan Ziqri dan Muhammad Rayyan Irfan, 4, serta Nurshafia Ayra berusia 18 bulan terpaksa berlindung di khemah sementara.

"April tahun lalu, kami sekeluarga terpaksa mengosongkan rumah dibina suami di atas tanah kerajaan di kampungnya di Kuala Lipis.

"Kemudian suami merantau ke sini dan kami baru saja enam bulan menyewa di Paya Jaras Hilir ini sebelum sekali lagi berdepan situasi sama.

"Selasa minggu lalu ada pegawai kerajaan memberitahu supaya kami kemas barang untuk dikosongkan rumah kerana ia akan dirobohkan.

“Esoknya, kira-kira 7 pagi rumah sewa kami dirobohkan," katanya sambil bergenang air mata ketika ditemui hari ini.

Wanita berasal dari Langkap, Teluk Intan, Perak itu berkata, dia mengakui pihak yang merobohkan rumah itu ada membantu mengeluarkan sebahagian barang.

Menurutnya, ada beberapa barang tak sempat diselamatkan termasuk kelengkapan persekolahan anaknya.

"Nurshafizah Aina memang tak sekolah sebab kerap diserang sawan selain hiperaktif dan pada pagi rumah itu dirobohkan juga dia mengalami sawan.

"Peralatan persekolahan anak kedua Nurfarisha Marliana yang saya bimbangkan sebab saya berasa ia musnah di bawah runtuhan," katanya mengakui terpaksa memberi 'cuti' kepada anaknya yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Subang Perdana Jalan U3.


ANTARA kediaman berhampiran sungai Kampung Paya Jaras Hilir yang dirobohkan bagi projek pelebaran Sungai Kedondong di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh. FOTO Asyraf Hamzah

Zamzarina yang ditemui di pusat penempatan sementara untuk mangsa rumah dirobohkan di Paya Jaras Hilir itu menjelaskan dia berasa lega selepas diberitahu suami bahawa mereka akan berpindah ke rumah sewa dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Saya risau sebab anak sulung saya selain autisme juga hiperaktif. Takut kami tak menyedari dia merayau keluar dari khemah.

"Nanti hilang anak, lain pula kesnya. Lagipun ketika di rumah sewa pun pernah berlaku, inikan pula di khemah terbuka," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras Hilir, Azroy Abdul Manaf berkata, pusat penempatan sementara yang membabitkan 12 khemah itu akan ditutup jam 6 petang ini sebab semua mangsa akan dipindahkan.

"Ada yang sudah mendapat rumah sewa, menumpang rumah saudara-mara dan sebagainya.

"Tidak sesuai sebenarnya tinggal di khemah terbuka yang tidak mempunyai kemudahan asas bilik air dan tandas," katanya.

Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling pada Rabu minggu lalu merobohkan 36 rumah dari sejumlah 92 rumah dibina atas tanah rizab sungai dirobohkan bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedongdong bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Berita berkaitan

Jangan politikkan isu Paya Jaras Hilir

Ke mana kami mahu pergi?

'Tak peduli kenapa roboh, kami tetap bantu' - LZS

Dah tiga kali tangguh...

'Kami semua bukan itik'

Mahu tangguh roboh rumah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 7:16 PM
ZAMZARINA bersama anaknya di tinggal di khemah penempatan sementara selepas rumah sewanya di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh dirobohkan pada Rabu lalu. FOTO Asyraf Hamzah