GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

SEBANYAK 4,409 aduan pembakaran terbuka diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tempoh Januari sehingga 22 September.

Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar berkata daripada jumlah itu, 1,152 amaran sudah dikeluarkan kepada pelaku dan 22 kes tindakan mahkamah diambil.

Beliau berkata, aduan membabitkan pembakaran sampah sarap, kebakaran belukar, hutan, tapak pelupusan sampah haram, kebun kecil dan tapak pembinaan.

“JAS telah menyiasat semua aduan yang dikemukakan oleh orang awam. Susulan siasatan, sebanyak 1,152 amaran dikeluarkan, 86 tindakan tawaran kompaun dan juga 22 kes tindakan mahkamah diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Norlin turut menasihati orang awam supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka kerana akan memburukkan lagi keadaan jerebu yang sedang berlaku ketika ini.

Jika didapati bersalah melakukan pembakaran terbuka, mereka akan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengulas mengenai masalah kekeliruan orang awam untuk mendapatkan maklumat terkini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tepat, Norlin berkata, hanya laman sesawang JAS sahaja memenuhi protokol antarabangsa bagi pengukuran dan pengiraan IPU.

“Untuk makluman semua indeks pencemaran udara yang diguna pakai oleh JAS memenuhi memenuhi protokol antarabangsa bagi pengukuran dan pengiraan IPU iaitu berdasarkan kepada US Environmental Protection Agency yang diguna pakai oleh Singapura, Thailand dan Brunei,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 9:31 PM