KEADAAN jerebu di Larkin, Johor Bahru pada 11 pagi hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BACAAN Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak boleh dikaitkan dengan jarak ketampakan kerana ia adalah purata bacaan bagi tempoh 24 jam.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah, kerajaan sedia maklum mengenai persoalan orang awam berkaitan proses bacaan IPU dan menasihati masyarakat supaya merujuk bacaan rasmi yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Penggunaan PM2.5 dalam pengiraan IPU adalah sejajar dengan piawaian antarabangsa dan diguna pakai di kebanyakan negara menjurus ke arah kelestarian alam sekitar

“Bacaan IPU yang disalurkan JAS menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) adalah bacaan IPU rasmi negara dan data-data itu juga sudah ditentusahkan sebelum dipamerkan kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, hari ini.

Beliau mengulas mengenai persoalan orang ramai mengenai ketepatan bacaan IPU yang disediakan kerajaan susulan dakwaan ada kawasan yang dilihat mengalami jerebu teruk namun, bacaan didapati masih rendah.

Selain itu, turut tular di media sosial mengenai bacaan IPU di UPM yang dikatakan melebihi 350 dan ia jauh berbeza dengan maklumat yang disediakan oleh pihak JAS.

Sementara itu, UPM dalam kenyataannya memaklumkan bahawa bacaan IPU melebihi 350 seperti yang ditularkan dalam media sosial bukan nilai bagi menggambarkan status pencemaran udara.

Sebaliknya, Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM, Prof Dr Azmawani Abd Rahman berkata, ia adalah nilai kepekatan PM2.5 (ug/m3) yang dicerap menggunakan air quality monitoring sensors bertujuan untuk kajian penyelidikan kesesuaian alat untuk kajian jerebu di universiti terbabit.

Katanya, sistem berkenaan pada masa kini digunakan untuk melihat corak kepekatan PM2.5 ketika jerebu di universiti itu serta kaitannya dengan IPU.

“PM2.5 merujuk kepada bahan partikulat (partikel halus) terampai di atmosfera berdiameter kurang dari 2.5 mikrometer yang dihasilkan oleh pembakaran bahan api fosil dan bio jisim.

“Ampaian PM2.5 di udara mengurangkan jarak penglihatan dan memberi kesan kepada kesihatan termasuk gangguan penglihatan, batuk, asma dan paru-paru apabila tahapnya meningkat,” katanya.

Jelas Azmawani lagi, dalam membuat justifikasi penangguhan kelas, universiti itu masih merujuk sistem pengurusan IPU JAS sebagai panduan untuk pelan tindakan jerebu selain turut berpandukan data cerapan (di UPM ) mengikut aliran taburan masa sebagai analisis ramalan.

Katanya, universiti terbabit tidak mengeluarkan IPU menggantikan bacaan JAS seperti yang ditularkan sebaliknya enam alat pencerapan IPU UPM ialah untuk kegunaan pendidikan dan penyelidikan di Fakulti Pengajian Alam Sekitar.

“Selain itu, UPM juga merujuk kepada arahan Kementerian Pendidikan dalam kenyataan media 18 September yang menyebut bahawa ‘Bagi IPT, keputusan untuk menangguhkan sesi kuliah adalah terletak kepada keputusan pengurusan IPT masing-masing.’

“Justeru, semua pihak diminta tidak menularkan data pemantauan penyelidikan UPM supaya tidak menimbulkan suasana panik atau salah persepsi kepada orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 11:34 PM