MOHD KHAIRUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid


TIDAK ‘hilang’, sebaliknya dinasihatkan pasukan keselamatan supaya tidak tampilkan diri di lokasi perobohan rumah buat sementara waktu. Itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Beliau mengulas berhubung dakwaan segelintir pihak bahawa dia ‘hilang’ sejak Rabu minggu lalu ketika bermulanya perobohan rumah di Paya Jaras Hilir bagi pelebaran Sungai Kedondong untuk mengatasi banjir kilat.

Menurutnya, ketiadaan di khemah penempatan sementara penduduk terbabit adalah atas nasihat pasukan keselamatan.

“Ada portal memetik netizen kata YB hilang. (Sebenarnya) ini adalah nasihat pasukan keselamatan.

“Saya agak tidak gembira dengan berita itu. Ini isu panas, tengah emosi. Mantan Perdana Menteri turun (lokasi), mantan Menteri turun, semua nak politikkan.

“Jika (saya) tunjuk muka di situ apa jadi? Nasihat pihak keselamatan, belum masanya lagi (turun lokasi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tamu program Mornink Blues Utusan Online, hari ini.

Menjelaskan lanjut, katanya, walaupun tidak turun ke lokasi, namun dia mendapatkan badan bukan kerajaan (NGO), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan air untuk mengurangkan beban penduduk.

“Bukan maksud apabila saya tidak dilihat di situ, tidak ada komunikasi. Ada beberapa keluarga yang datang berjumpa.

“Berbincang macam mana nak buat. Kita jumpa persatuan mewakili mereka.

“Tetapi saya tidak mahu dilihat seolah-olah gambaran nak berlawan di Facebook (FB). Sebab fokus utama adalah besarkan sungai mengatasi banjir,” katanya.

Rabu minggu lalu, sebanyak 36 rumah dirobohkan daripada 92 rumah yang dibanci untuk perobohan bagi projek pelebaran Sungai Kedondong.

Projek itu untuk mengatasi banjir di kawasan Paya Jeras Hilir, Paya Jaras Hulu, Paya Jaras Tengah, Paya Jaras, sebahagian Merbau Sempak dan Kubu Gajah.

Berita berkaitan

LZS kenal pasti 9 keluarga miskin

Jangan politikkan isu Paya Jaras Hilir

Ke mana kami mahu pergi?

'Tak peduli kenapa roboh, kami tetap bantu' - LZS

Dah tiga kali tangguh...

'Kami semua bukan itik'

Mahu tangguh roboh rumah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 12:20 PM