TULISAN pada batu seakan kalimah Allah SWT yang ditemui pekerja kontraktor di SMKA Jerlun. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
TULISAN pada batu seakan kalimah Allah SWT yang ditemui pekerja kontraktor di SMKA Jerlun. FOTO NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman


SEORANG pekerja kontraktor yang sedang membina tembok pagar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Jerlun, terkejut apabila menemui seketul batu tertera tulisan seakan kalimah Allah SWT berhampiran asrama perempuan sekolah berkenaan.

Pekerja terbabit, Mohd. Mustaqim Rozani, 33, berkata kejadian itu berlaku kira-kira dua minggu lalu di mana ketika itu dia sedang mengorek tanah sebelum cangkulnya terkena batu berkenaan lalu terbelah dua.

Katanya, kejadian disedari kira-kira jam 11.30 pagi dan terus menunjukkan batu itu kepada rakan sekerjanya sebelum dimaklumkan pula kepada pihak sekolah.

“Saya seperti tidak percaya melihat tulisan berbentuk kalimah Allah SWT pada bahagian dalam batu…betapa Allah SWT mahu menunjukkan kebesaran-Nya.

“Sebelum ini saya hanya melihat gambar keajaiban seperti ini tetapi kali ini saya sendiri yang jumpa, ia membuatkan saya rasa teruja dan meningkatkan keimanan saya kepada Allah SWT,” katanya ketika ditemui di Jerlun, hari ini.

Sementara itu, Pengetua SMKA Jerlun, Napisah Salleh berkata, pihaknya sepakat menyimpan batu dipercayai berusia ratusan tahun di sekolah berkenaan.

Beliau difahamkan tanah digunakan untuk menambak bendang sebagai tapak sekolah terbabit dibawa dari kawasan bukit dan percaya batu itu berada bersama timbunan tanah.

“Kejadian ini cukup menakjubkan buat warga sekolah, apatah lagi struktur batunya yang licin dan hanya terbelah ketika diketuk.

“Pihak kami juga merancang merujuk dengan pakar berkaitan bagi mengetahui jenis dan usia sebenar batu berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 4:18 PM