Gambar hiasan
Norizuan Shamsuddin


DUA lelaki didenda oleh Mahkamah Rendah Syariah Dungun hari ini kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam dengan bercium dalam sebuah kereta pada April lalu.

Kedua tertuduh masing-masing berusia 25 dan 20 tahun turut berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang masih bujang itu dibebaskan selepas menjelaskan denda sebanyak RM1,000 setiap seorang itu.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Mohamad Hamidi Shafie selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tidak sopan bertentangan dengan hukum syarak di tempat awam dalam sebuah kereta yang parkir di tepi Pantai Sura Tengah pada 10.55 malam, 15 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu Mohd Khasmizan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa syariah daerah yang melakukan rondaan ternampak sebuah kereta mencurigakan parkir di tepi pantai berkenaan.

Pasukan penguat kuasa menghampiri kenderaan berkenaan bagi tujuan pemeriksaan sebelum mendapati dua lelaki sedang bercium.

Pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada mereka berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan zip serta seluar terbuka sehingga menampakkan kemaluan, manakala seorang lagi berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Susulan itu, dua lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Dungun untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 4:41 PM