Selain kediaman bekalan air di 28 sekolah di Melaka turut terjejas. FOTO Khairunisah Lokman
Fairuz Zaidan


SEBANYAK 28 sekolah di Melaka terjejas akibat gangguan bekalan air yang melanda tiga daerah di negeri itu sejak awal bulan ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, daerah Melaka Tengah mencatatkan kes tertinggi dengan 23 sekolah terjejas bekalan air diikuti tiga sekolah di daerah Jasin dan dua sekolah di daerah Alor Gajah.

Beliau berkata, sekolah di Melaka Tengah yang terjejas adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim; SJKC Yu Hwa; SJKC Bachang; SJKC St Mary; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Melaka Kubu; Sekolah Kebangsaan (SK) Bachang; SJKC Keh Seng; SK Jalan Datuk Palembang; SK Batu Berendam 2 dan SK Peringgit.

Katanya, turut terjejas bekalan air ialah SK Tambak Paya; SJKC Cheng; SK Taman Bukit Rambai; SJKC Pay Fong 2 & 3; SK Pantai Kundor; SK Perempuan Methodist 2; SJKC Siang Lin; SJKC Notre Dame; SJKC Yu Ying; SK Paya Redan; SJKC Tiang Dua dan SK Taman Merdeka.

“Bagi daerah Jasin, sekolah yang terjejas ialah SK Kemendor; Sekolah Menengah Arab (SMA) Assyakirin dan SMK Selandar.

“Dua sekolah di daerah Alor Gajah ialah SMK Sultan Mansor Shah dan SMK Tebong,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, kebanyakan kes yang dilaporkan kepada Pejabat Pendidikan Melaka adalah berkaitan ketiadaan bekalan air sejak beberapa hari lalu termasuk tekanan air rendah.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk menyalurkan pelan air berjadual terutama di kawasan terjejas.

“Bagaimanapun, sehingga kini sesi persekolahan berjalan seperti biasa walaupun sesetengah sekolah berdepan dengan isu terputus bekalan air serta tekanan air rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 4:59 PM