Gambar hiasan
Hadzlihady Hassan


BUKAN hanya di Pulau Pinang, malah aktiviti sindiket penjualan MyKad dan sijil kelahiran sah yang didalangi pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kemungkinan turut berlaku di tempat lain.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T Narenasagaran berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan penjualan MyKad dan sijil kelahiran sah itu turut berlaku di negeri lain.

“Kita percaya sindiket ini juga sudah lama beroperasi dan siasatan menyeluruh serta terperinci sedang dijalankan termasuk kemungkinan wujud pembabitan dalam beberapa peringkat di agensi berkenaan.

“Mungkin aktiviti ini sudah lama dilakukan dan ada beberapa lapisan dalam sindiket terbabit, sebab itu polis perlu menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Antarabangsa Ke-5 di Georgetown hari ini.

Sehingga kini, empat individu masing-masing seorang wanita dan tiga lelaki yang terbabit dalam sindiket penjualan MyKad menjadi buruan polis dalam fasa kedua Op Biru yang dilancarkan baru-baru ini.

Mereka yang diburu itu terdiri daripada seorang wanita yang masih berkhidmat di JPN di sebuah negeri di utara, dua lelaki bekas kakitangan jabatan itu dan seorang lelaki bergelar Datuk.

Dalam fasa kedua Op Biru itu, polis turut berjaya menahan seorang lelaki warga India yang didapati menggunakan MyKad yang diperoleh secara tidak sah.

Lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit ditahan di sebuah rumah di Nibong Tebal semalam, susulan risikan dan juga maklumat yang dilakukan polis.

Dalam kejadian pada 12 September lalu, enam lelaki termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan seorang Penolong Pengarah JPN berdepan 32 pertuduhan menjual MyKad sah kepada warga asing.

Fasa pertama Ops Biru berjaya menahan 20 individu susulan pembongkaran seorang warga China yang cuba memohon pasport menggunakan MyKad sah di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang pada 16 Mei lalu.

Berita berkaitan

1,000 miliki MyKad 'sah'

'Jual MyKad: JPN lakukan siasatan dalaman'

'Jual MyKad: Enam didakwa [METROTV]'

'Senyuman bongkar rahsia'

'20 individu ditahan kes jual MyKad'

'Pegawai kerajaan jual MyKad'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:06 PM