PPM Wilayah Dua Johor menahan lelaki warga asing selepas disyaki menyeludup syabu dan burung di Sungai Rengit. FOTO Ihsan PPM
Nurul Amanina Suhaini


SIKAP tamak penyeludup bukan saja cuba menyeludup keluar syabu malah turut membawa keluar 190 burung spesis dilindungi ke Indonesia.

Namun tindakan itu membawa padah apabila dia ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor di Sungai Rengit, Johor Bahru Ahad lalu.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan 11.10 malam menerusi Ops Landai yang dijalankan pihaknya.

“Ketika menjalankan Ops Landai di kawasan itu anggota dan pegawai melihat lelaki mengangkat beberapa raga serta kotak kayu menuju ke sebuah bot fiber di gigi pantai.

“Berikutan itu, pasukan berkenaan melakukan serbuan dan berjaya menahan suspek.

“Pemeriksaan di dalam bot itu menemui bungkusan plastik dipercayai syabu lebih satu kilogram (kg).

“Pasukan turut menemui tujuh kotak kayu dan raga mengandungi burung Murai Batu, Poksey dan Wambi disyaki untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, syabu itu dianggarkan bernilai RM120,000, tujuh kotak kayu mengandungi pelbagai jenis burung bernilai

RM56,000, lima raga plastik mengandungi burung (RM7,500), sebuah bot fiber (RM1,200) dan seunit enjin sangkut jenis Yamaha 40 hp (RM3,000).

Katanya, turut dirampas, pelbagai spesis burung dilindungi antaranya 50 murai batu, 100 wambi dan 40 poksey dengan keseluruhan rampasan bernilai RM 187,700.

“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga jenis burung itu dijual bermula RM500 seekor bergantung kualiti suara dan kemerduan bunyi dihasilkan.

Katanya, biasanya ia dijadikan haiwan peliharaan dan tidak menolak kemungkinan digunakan untuk pertandingan.

“Semuanya bergantung pada lokasi ia dijual mengikut budaya tempatan satu-satu tempat,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:20 PM