Yeo Bee Yin (tengah) bergambar bersama peserta dan pemenang pertandingan STEM di Seri Iskandar hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
Shaarani Ismail


CADANGAN mewujudkan Akta Pencemaran Rentas Sempadan tidak hanya terhad bagi menangani masalah jerebu tetapi diguna pakai dalam menangani segala bentuk pencemaran rentas sempadan yang dilakukan rakyat atau syarikat Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, bagi melaksanakan perkara itu kementeriannya akan membuat satu kertas hala tuju dasar terlebih dulu dalam tempoh tiga bulan untuk diserahkan kepada Kabinet.

“Kabinet kemudian akan memutuskan sama ada mahu menerima cadangan mewujudkan akta itu atau tidak dan mereka juga akan membuat keputusan sama ada mahu membuat draf akta berkenaan atau mengguna pakai akta sedia ada.

“Jika Kabinet memutuskan draf akta perlu dibuat, maka kementerian akan membuat draf akta berkenaan.

“Akta itu nanti tidak hanya tertumpu kepada (menangani) masalah membabitkan jerebu tetapi juga pencemaran lain bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap syarikat Malaysia atau pun rakyat Malaysia yang buat salah di luar negara tetapi mengakibatkan pencemaran di negara kita sama ada jerebu atau pencemaran perairan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Pusat Eksplorasi Sains, Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta Majlis Penutup Chemical Company of Malaysia STEM UP X-UTP di Seri Iskandar hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

Dalam pada itu, mengulas perkembangan semasa jerebu, Bee Yin berkata, pihaknya menjangka keadaan jerebu bertambah baik menjelang akhir minggu ini sebagaimana dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Dengan peralihan monsun yang berlaku kita akan menghadapi ribut petir selain hujan yang banyak.

“Itu akan membantu memulihkan jerebu dan diharapkan hujung minggu ini keadaan kembali normal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas desakan MCA supaya beliau meletakkan jawatan berikutan suaminya didakwa mempunyai anak syarikat perladangan kelapa sawit di Indonesia yang menjadi punca jerebu di negara ini, Bee Yin berkata, jika itu berlaku biarlah kerajaan Indonesia mengambil tindakan.

“Saya rasa kerajaan Indonesia boleh mengambil tindakan undang-undang jika selepas siasatan (mereka) sesiapa yang salah (akan dihukum) mengikut undang-undang Indonesia.

“Saya adalah menteri di Malaysia dan saya harap pembangkang boleh memberikan cadangan lebih membina, apa saja cadangan dan langkah lebih baik akan kita lakukan bagi mengatasi masalah ini (jerebu) pada masa depan.

“Ini bukan masalah baharu, ia sudah puluhan tahun berlaku, jadi saya mengalu-alukan cadangan baik daripada kerajaan mahu pun pembangkang yang konstruktif dan baik kita akan terima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:34 PM