FOTO hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEWA dua unit kondominium mewah di lokasi sama untuk simpan dadah. Itu taktik digunakan sindiket pengedaran dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan menyewa dengan harga RM3,200 bagi setiap unit kondominium yang dijadikan stor penyimpanan dadah.

Bagaimanapun, tindakan sindiket itu berjaya dihidu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, selepas menahan seorang lelaki berusia 39 tahun di lobi kondominium berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek ditahan pada jam 6.45 pagi, 21 September lalu ketika berada di lobi kondominium berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap suspek menemui dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 60 gram dan Ketamin seberat 1.5 gram.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, dia membawa sepasukan polis ke sebuah unit kondominium sebelum menahan wanita warga Indonesia dan Vietnam berusia 24 dan 18 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, pemeriksaan di unit kondominium berkenaan menemui serbuk ekstasi seberat 1.7 kilogram (kg) dan ketamin seberat 80.1 gram serta merampas wang tunai RM3,234.

“Dua wanita terbabit kemudian membawa polis ke sebuah lagi unit kondominium di tingkat 10. Pemeriksaan menemui dadah jenis MDMA seberat 2.1 kg, ketamin seberat 501 gram, 30 biji pil Eramin 5, 31 rokok berisi ganja dan enam biji pil ekstasi.

“Susulan itu, polis menahan dua lagi lelaki warga tempatan berusia 21 dan 36 tahun di hadapan kondominium pada hari sama,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing semua suspek mendapati mereka positif dadah jenis ketamin.

“Semua dadah yang dirampas bernilai RM441,040 dan nilai keseluruhan rampasan adalah RM444,274.

“Semua suspek kini direman selama enam hari sehingga 27 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, sindiket ini juga dipercayai aktif melakukan pengedaran dadah sejak empat bulan lalu.

“Polis tidak menolak kemungkinan terdapat lagi saki baki sindiket masih bebas dan sedang diburu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:58 PM