Laporan portal berita Harian Metro Isnin lalu.
Laporan portal berita Harian Metro Isnin lalu.
Poliana Ronnie Sidom


KELUARGA mangsa penculikan terbaharu di perairan timur Sabah berharap ketiga-tiga nelayan dalam insiden terbabit dilepaskan kumpulan penculik dengan selamat.

Ketiga-tiga nelayan warga Indonesia, Maharudin Lunani, 48, dan anaknya, Muhammad Farhan, 27, serta anak buahnya, Samiun Maneu, 27, disyaki diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang di perairan Tambisan, Lahad Datu, Isnin lalu.

Adik Samiun, Masiudin berkata, ketiga-tiganya baru belayar dari Sandakan ke kawasan itu untuk menangkap udang sebelum diculik pada hari sama.

Setakat ini katanya, mereka belum menerima panggilan daripada penculik untuk meminta wang tebusan.

“Tiada panggilan (kumpulan penculik). Kami harap mereka dibebaskan dengan selamat.

“Samiun ada seorang anak lelaki berusia enam tahun dan sekarang berada di bawah jagaan saya. Sampai sekarang dia belum tahu bapanya diculik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Masiudin yang bekerja sebagai nelayan di bawah syarikat kapal nelayan sama mendakwa kejadian penculikan menjadi ketakutan mereka selama ini, namun tiada pilihan selain bekerja sebagai nelayan di negeri itu.

Katanya, kebimbangan mereka semakin meningkat dengan kejadian nelayan, Jari Abdullah yang mati ditembak kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina April lalu.

“Arwah Jari adalah sepupu kami dan kami bekerja di bawah satu syarikat.

“Selepas kejadian itu, kami semakin takut namun tiada pilihan untuk bekerja di tempat lain,” katanya.

Semalam, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali mengesahkan pasukan keselamatan sudah mengenal pasti kumpulan culik untuk mendapatkan wang tebusan (KFR) yang menculik ketiga-tiga mangsa dan membawa lari ke perairan Pulau Tawi-Tawi, selatan Filipina.

Berita berkaitan

Nelayan Indonesia diculik

ESSCOM kenal pasti penculik

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 12:10 PM
Digital NSTP Subscribe