Laporan Harian Metro sebelum ini.
Siti Azila Alias


SEPULUH individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan kejadian amuk di sebuah kilang dekat Bayan Baru di Georgetown pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, mereka terdiri daripada ahli keluarga, rakan sekerja suspek dan mangsa selain saksi yang berada di lokasi pada hari kejadian.

Menurutnya, setakat ini pihaknya belum mengenal pasti motif sebenar kejadian dan siasatan lanjut masih dilakukan dengan mengambil kira semua aspek termasuk dakwaan lelaki itu sudah lama menyimpan dendam terhadap mangsa.

“Setakat ini, kita belum dapat merungkai motif sebenar kejadian tetapi apa yang kita tahu suspek mengalami masalah kemurungan, seorang yang pendiam dan tidak bercakap dengan sesiapa sejak beberapa bulan lalu.

“Lain-lain elemen masih dalam siasatan. Kita akan lihat dari semua sudut sebelum boleh membuat sebarang kesimpulan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Dalam kejadian pada 4.45 petang itu, lelaki berusia 25 tahun dan bekerja di kilang terbabit mengamuk dalam kilang serta menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.

Penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana parah di beberapa bahagian badan terutama di kepala, manakala lelaki yang juga pengurus keselamatan berusia 53 tahun cedera tetapi berada dalam keadaan stabil.

Suspek maut ditembak selepas dia cuba menyerang anggota polis yang sebelum itu sudah memintanya bertenang dan menyerah diri.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T Narenasagaran meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian termasuk menyebarkan maklumat tidak benar atau yang tidak mendapat pengesahan daripada polis kerana ia dikhuatiri boleh mengganggu siasatan.

Berita berkaitan

Kejadian amuk kes terpencil - KPN

Suspek tetak alami kemurungan

Amukan berdarah dalam kilang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 3:21 PM