Gambar hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


TINDAKAN seorang lelaki menyamar anggota polis dan melakukan samun membawa padah apabila dia ditahan polis di kawasan Larkin di Johor Bahru pada 1 pagi hari ini.

Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) selepas gerakan memburunya dijalankan berdasarkan laporan dibuat seorang remaja yang menjadi mangsa samun lelaki berkenaan semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah JBS Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada 11.06 pagi semalam berkaitan kejadian samun di kawasan Jalan Lumba Kuda membabitkan seorang remaja perempuan tempatan.

“Berdasarkan laporan mangsa, suspek dipercayai seorang lelaki dan menyamar sebagai anggota polis.

“Hasil operasi dilakukan, kita berjaya menahan suspek dan turut merampas sebuah Proton Iswara serta barangan yang disyaki digunakan bagi tujuan menyamun,” katanya.

Menurutnya, antara yang dirampas termasuklah topi, kunci kereta, beg silang, dua telefon bimbit, gari, dompet, sarung tangan dan topeng muka.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

“Ujian saringan awal air kencing juga dijalankan dan suspek didapati positif dadah methaphetamine,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, polis percaya dapat menyelesaikan dua kes samun dan menyamar polis yang dilaporkan.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman sehingga Isnin bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan menyamar sebagai penjawat awam.

Pada masa sama, beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang berlaku dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi hotline IPD JBS di talian 07-2218999 untuk tindakan segera pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 8:39 PM