ANGGOTA bomba mengalirkan air ke dalam tangki bagi memastikan cecair kimia dari dalam lori terbalik itu larut sepenuhnya. FOTO ihsan bomba.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


LORI tangki yang terbalik di Kampung Parit Mentara 3, Bagan Serai awal pagi semalam sehingga mengakibatkan tumpahan muatan bahan kimia jenis Acetone Thinner, belum dapat dialihkan.

Lori berkenaan yang dalam perjalanan membawa bahan kimia dari Klang ke Pulau Pinang dilaporkan terbalik pada 5 pagi semalam di laluan terbabit.

Kerja pengalihan kenderaan berat itu tidak dapat dilakukan susulan pihak kren tidak mahu mengambil risiko bekerja pada waktu malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu berkata, pihak syarikat lori tangki terbalik itu tidak banyak membantu dalam tindakan untuk memindahkan muatan bahan kimia ke tangki atau lori lain.

“Bomba mengambil tindakan mengalirkan atau memasukkan air ke dalam tangki lori terbalik itu bagi memastikan bahan kimia dalam keadaan terlarut.

“Tindakan ini bagi mengurangkan tahap nyalaan atau sambar terhadap bahan kimia yang mudah terbakar itu dan tindakan ini dipersetujui secara bersama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bomba meneruskan operasi pemantauan bagi memastikan bahan kimia benar-benar terlarut dan tiada bahaya lain sehingga pengalihan lori dilakukan pada 9 pagi nanti.

Menurutnya, setakat ini, empat keluarga tinggal dalam radius 100 meter dari lokasi tumpahan berlaku sudah diarahkan berpindah sementara waktu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob semalam dilaporkan berkata, lori dipandu lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai tersalah jalan memasuki laluan di kampung berkenaan sebelum terbabas ke dalam parit dan terbalik.

Pemandu lori tidak cedera, namun kemalangan itu menyebabkan muatan cecair kimia tumpah dan mengalir masuk ke parit.

Bahan kimia itu boleh menyebabkan kebakaran dan pihak berkuasa mengarahkan penduduk berdekatan supaya mengosongkan rumah dalam jarak 100 meter untuk keselamatan.

Berita berkaitan

'Lori bawa bahan kimia terbalik'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 12:28 AM