NAJIB ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Aswadi Alias
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluluskan pinjaman pelaburan tambahan sebanyak AS$750 juta kepada PetroSaudi International (PSI).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian ketika dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram kepada minit mesyuarat Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat 1MDB bertarikh 30 Mac 2011.

Menurutnya, minit itu disediakan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang kemudian diberikan kepadanya selepas ia ditandatangani oleh Najib sendiri.

“Dalam minit ini, Najib bersetuju untuk 1MDB memberi pinjaman sebanyak AS$750 kepada PetroSaudi International (PSI). Namun, ia tertakluk kepada 1MDB mendapatkan pinjaman sebanyak RM3 bilion daripada PERKESO.

“Minit itu juga menyatakan untuk memberi tumpuan kepada projek Maybourne Hotel Group (projek ambil alih hotel di London yang diterajui oleh Jho Low), SRC International Sdn Bhd dan Kuala Lumpur International Financial District (KLIFD) yang kini dikenali sebagai Tun Razak Exchange (TRX),” katanya.

Saksi ke-sembilan itu berkata, cadangan projek Maybourne Hotel Group tidak pernah dirancang dan dibincangkan oleh Ahli Lembaga Pengarah 1MDB serta percaya Jho Low hanya mahu menggunakan nama 1MDB untuk bidaan hotel itu.

Sementara itu, ketika dirujuk kepada minit mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB bertarikh 4 April 2011, Shahrol Azral berkata, mereka terkilan berhubung tindakan memberi pinjaman AS$750 juta menerusi nota Murabaha.

“Permintaan penambahan hutang ini dibuat secara terus kepada pemegang saham 1MDB iaitu Najib. Seolah-olah dengan tujuan untuk ‘forcing the hand of Ahli Lembaga Pengarah’ (memaksa Ahli Lembaga Pengarah untuk meluluskan pinjaman ini.

“Bagaimanapun, selepas mengambil kira perhubungan PSI dan 1MDB adalah perhubungan ‘G To G’ (kerajaan dengan kerajaan) selain Najib lebih awal memberi persetujuan, Ahli Lembaga Pengarah 1MDB menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat analisis lanjut mengenai penambahan hutang ini dan sumber wang jika mahu meneruskan pemberian pinjaman ini,” katanya.

Selepas mesyuarat itu, Shahrol Azral berkata, beliau menegaskan kepada Jho Low bahawa 1MDB kekurangan wang untuk membangunkan projek tempatan seperti TRX dan Bandar Malaysia.

“1MDB juga tidak mampu untuk melaburkan AS$750 juta ke dalam projek sektor tenaga luar dan seterusnya meminta pertolongan beliau untuk membuat rundingan dengan PSI bagi menangguhkan atau mengurangkan jumlah pelaburan yang diminta.

“Lanjutan daripads perbincangan dalam bulan April hingga Mei 2011 antara saya dan Jho Low, PSI setuju untuk mengurangkan ‘drawdown’ (pengeluaran) dari JVCo (syarikat usaha sama 1MDB dan PetroSaudi) kepada AS$330 juta pada tarikh 12 Mei 2011,” katanya.

Beliau berkata, Najib juga pada masa sama meluluskan penambahan pinjaman AS$330 juta pada 16 Mei 2011.

Dalam keterangannya, saksi itu mengesahkan Resolusi Pekeliling Pengarah bertarikh 16 Mei 2011 yang berkaitan dengan pelaburan tambahan AS$750 juta berjaya dikurangkan kepada AS$330 juta.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sedang berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 10:48 AM