SHAHROL Azral Ibrahim ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Aswadi Alias
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


PUTERA Turki Abdullah (anak Raja Arab Saudi, Raja Abdullah) didakwa kecewa dan tidak berpuas hati dengan tindakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengurangkan bayaran pinjaman pelaburan daripada AS$330 juta kepada AS$205 juta.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurutnya, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low memaklumkan kepadanya bahawa PetroSaudi International (PSI) tidak berpuas hati dengan 1MDB yang mengurangkan bayaran itu berbanding dengan persetujuan sebelum ini.

“Saya mengurangkan pembayaran pada 27 Mei 2011 selepas mendapat maklum balas daripada Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Radhi Mohamad bahawa 1MDB tidak mempunyai wang mencukupi untuk memenuhi permintaan PSI ini.

“Saya ada berbincang perkara ini dengan Jho Low dan beliau meminta saya menghantar surat kepada PSI. Jho Low berkata ‘they complained to daddy’ yang bermaksud Putera Turki sudah memaklumkan kepada Raja Abdullah,” katanya.

Akhirnya, menurut Shahrol Azral, pihaknya terpaksa akur dan mengarahkan pembayaran terakhir dibuat berjumlah AS$125 juta dibuat kepada PSI.

Terdahulu, Shahrol Azral memberitahu mahkamah bahawa 1MDB membuat transaksi pembayaran sebanyak empat kali iaitu pada 20 Mei 2011 (AS$30 juta), 23 Mei 2011 (AS$65 juta), 27 Mei 2011 (AS$110 juta) dan 25 Oktober 2011 (AS$125 juta).

Sementara itu, saksi ke-sembilan itu berkata, selepas semua dana 1MDB disuntik kepada PSI ke dalam akaun 1MDB PetroSaudi Ltd dan Good Star Ltd berjumlah AS$1.83 bilion, beliau berasa tidak selesa kerana ia membabitkan pelaburan yang besar.

“Lalu saya meminta Jho Low untuk mencari jalan bagaimana boleh mempercepatkan PSI melaburkan kembali duit itu ke Malaysia.

“Sekurang-kurangnya ia dapat dibawa pulang ke Malaysia kerana banyak projek 1MDB sedang berjalan ketika itu. Jho Low ambil maklum dan berkata akan cuba membawa pulang duit itu,” katanya.

Shahrol Azral berkata, beliau banyak kali menekan Jho Low berhubung perkara itu, namun lelaki itu masih memberi maklum balas yang sama.

“Sehinggalah saya dapat tahu daripada berita bahawa terdapat isu 1MDB membabitkan PetroSaudi. Saya menjadi keliru kerana semua transaksi dibuat berdasarkan pelaburan antara kerajaan (G To G) dan disokong penuh oleh Kerajaan Malaysia dan diberi mandat oleh Perdana Menteri.

“Pelbagai perbincangan dibuat antara 1MDB dan PSI. Selepas beberapa bulan, akhirnya satu cadangan untuk menukar bentuk pelaburan 1MDB dalam PSI dalam bentuk Nota Murabaha kepada pegangan ekuiti syarikat milik PSI iaitu PSOSL dicapai,” katanya.

Menurutnya, 1MDB akan membeli 49 peratus saham syarikat PSOSL dengan menukarkan nilai Nota Murabaha.

“Penukaran bentuk pelaburan bertujuan supaya wang asal pelaburan 1MDB ke dalam PSI yang berjumlah AS$1.830 bilion boleh ‘direpatriate (dibawa pulang)’ secara berperingkat untuk digunakan dalam projek 1MDB yang lain.

“Oleh kerana isu ini banyak dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, apabila Resolusi Pekeliling Pengarah diedarkan, semua ahli bersetuju kerana ia adalah langkah bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Shahrol Azral berkata, beliau berpuas hati kerana Jho Low memaklumkan bahawa wang 1MDB dalam PSI akan dibawa pulang melalui penjualan ekuiti PSOSL yang akan memberi pulangan serta wang tunai kepada mereka.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sedang berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 12:08 PM