Petai yang dirampas MAQIS ketika cuba dibawa masuk ke negara ini. FOTO Ihsan MAQIS
Petai yang dirampas MAQIS ketika cuba dibawa masuk ke negara ini. FOTO Ihsan MAQIS
Aizat Sharif


KIRA-kira 1,000 kilogram (kg) petai dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah kerana cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah di Durian Burung, Padang Terap 15 September lalu.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Pakianathan berkata, rampasan itu dilakukan selepas anggota MAQIS menahan lori yang melalui laluan kargo di Kompleks Pemeriksaan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Durian Burung.

“Dalam pemeriksaan itu, kami menahan lori yang membawa keluaran pertanian iaitu petai dianggarkan 1,000 kilogram.

“Apabila diperiksa ia tidak mematuhi syarat import sebagaimana dinyatakan dalam perakuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada syarikat pengimport itu sebagai peringatan atas kesalahan tidak mematuhi syarat import ditetapkan MAQIS.

“Perbuatan mengimport tanpa mematuhi syarat import adalah

kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(2), akta sama.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Lily Rosalind berkata, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan jaminan keselamatan makanan negara terpelihara.

“Penahanan keluaran pertanian ini adalah bertujuan mengawal kemasukan elemen perosak.

“Ini adalah seperti serangga perosak buah dan penyakit yang boleh merosakkan industri pertanian dalam negara jika tidak dikawal dengan sebaiknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 4:11 PM