BEBERAPA individu ditahan AADK dalam Ops Perdana, di Krubong. FOTO NUR SALIAWATI SALBERI
BEBERAPA individu ditahan AADK dalam Ops Perdana, di Krubong. FOTO NUR SALIAWATI SALBERI
Nur Saliawati Salberi


“SAYA tidak tahu mahu lakukan apa lagi, walaupun puas menasihati dia tetap juga ke sini. Banyak kali dia sudah ditahan tetapi tetap sama,” luah isteri kepada salah seorang lelaki dipercayai penagih dadah yang ditahan dalam Ops Perdana Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Krubong, hari ini.

Wanita berusia 50-an itu datang ke lokasi serbuan selepas dimaklumkan penangkapan suaminya berusia 62 tahun.

Ketika ditanya isterinya mengapa kerap ke sarang penagihan dadah itu lagi, lelaki warga emas berkenaan dengan selamba menjawab ada perhimpunan bersama rakan dan tidak perlu risau.

Operasi lebih enam jam bermula 7 pagi dilakukan AADK hasil aduan awam dan risikan membabitkan dua lokasi iaitu di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah dan Krubong di Melaka Tengah.

Timbalan Pengarah AADK negeri, A Reuben berkata, seramai 44 individu termasuk seorang wanita dipercayai penagih dadah ditahan ketika dikesan memasuki lokasi operasi yang juga sarang penagihan.

Beliau berkata, semua ditahan berusia antara 20 hingga 60-an.

“Selain 44 individu dipercayai penagih, kita turut merampas beberapa plastik lutsinar kecil dipercayai dadah.

“Mereka yang datang ke sini bukan sahaja tinggal berdekatan, malah ada dari Durian Tunggal Alor Gajah dan Duyong,” katanya pada sidang media selepas tamat operasi, petang ini.

Reuben berkata, Ops Perdana itu dimulakan sejak 22 September lalu dan berakhir hari ini bertujuan mengesan penagih tegar yang enggan mendapatkan rawatan secara sukarela.

“Untuk empat hari pertama operasi, kita berjaya menahan 56 individu dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah.

“Sejak Januari hingga Ogos, AADK menerima 235 aduan berkaitan dadah,” katanya.

Beliau berkata, semua ditahan dibawa ke pejabat AADK di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh bagi siasatan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (rawatan dan pemulihan) 1998,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 5:25 PM