LAPORAN portal berita Harian Metro
Mohd Hafizee Mohd Arop


“SEJAK dari awal lagi, saya ada cakap yang ini adalah kemalangan dalam latihan dan tidak akan pertikai hasil siasatan Lembaga Siasatan TDM (Tentera Darat Malaysia) kerana tahu ia terjadi ketika latihan.

“Arwah suami (Mejar Mohd Zahir Armaya) juga tidak mempunyai musuh dan apa yang terjadi ini adalah sebagai kemalangan dalam latihan, tambahan pula saya mengenali rakannya,” kata balu Allahyarham Mejar Mohd Zahir, Nour Shafinar Harun, 36.

Nour Shafinar berkata, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan menerima keputusan lembaga siasatan kerana memahami risiko sebagai anggota tentera dalam apa juga situasi termasuk latihan.

Menurutnya, dia yang juga pernah berkhidmat di 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Kem Genting Klang, Kuala Lumpur, turut mengetahui selok belok dalam latihan tentera.

Ketika ditanya mengenai kenaikan pangkat arwah suaminya ke Leftenan Kolonel, Nour Shafinar gembira mendengar perkhabaran itu kerana dapat meringankan bebanan ditanggung dirinya.

“Sudah pasti ini dapat membantu saya dalam membesarkan anak dan berterima kasih dengan keputusan itu termasuk pelbagai bantuan diberikan TDM sebelum ini.

“Saya akan berpindah ke Ipoh selepas ini dan ketika ini saya masih di Kuala Lumpur untuk menguruskan beberapa perkara lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, TDM dalam satu kenyataan dikeluarkan memaklumkan tragedi menimpa Allahyarham diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil dan kemalangan dalam latihan.

Kenyataan itu turut memberitahu, keputusan itu dimuktamadkan selepas lembaga siasatan TDM menjalankan siasatan berhubung tragedi itu dan mendapati peralatan serta kelengkapan digunakan ketika latihan keupayaan itu berada dalam keadaan baik.

Dalam kenyataan sama, TDM memaklumkan daripada segi kebajikan, Allahyarham Mejar Mohd Zahir disokong untuk dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel oleh Majlis Angkatan Tentera Ke-578 (MAT 578) yang bersidang pada 17 September lalu, namun tertakluk kepada kelulusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando daripada 11 Rejimen Gerak Khas (RGK) meninggal dunia 4 September lalu selepas terkena tembakan ketika melakukan aksi demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 7:24 PM