Laporan portal berita Harian Metro mengenai kes lelaki yang mengamuk dan menetak dua bekas rakan sekerjanya.
Mohd Azam Shah Yaacob


TIGA lelaki yang memuat naik kenyataan berunsur hasutan dan perkauman di Facebook susulan kematian lelaki yang ditembak polis di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Isnin lalu ditahan polis semalam.

Timbalan Pengarah Forensik/Databank/DNA/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman

Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, ketiga-tiganya ditahan di Pulau Pinang dan Kedah antara 1.15 tengah hari semalam hingga 12.27 tengah malam tadi.

Katanya, tiga individu itu masing-masing berusia 28, 32 dan 42 tahun ditahan susulan tiga laporan polis diterima sejak kelmarin.

“Suspek pertama berusia 32 tahun ditahan di Butterworth oleh pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 1.15 tengah hari.

“Suspek yang juga penganggur adalah pemilik akaun Facebook Dun Lunas ditahan susulan laporan polis dibuat pegawai IPK Pulau Pinang 11.45 pagi Rabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, suspek kedua ditahan di Lunas, Kedah pada 5 petang oleh pegawai IPK Kedah.

Katanya, suspek kedua menggunakan akaun Facebook Zulkifli Mohd Kadir yang turut berkongsi kenyataan sama berunsur hasutan dan perkauman terbabit.

“Suspek kedua berusia 42 tahun bekerja sebagai pemandu jentolak.

“Ia susulan satu laporan polis yang dibuat di Lunas petang semalam,” katanya.

Mohd Dzuraidi berkata, suspek ketiga berusia 28 tahun yang bekerja sebagai sub kontraktor pula ditahan di Kuala Muda oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 12.27 tengah malam.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit yang digunakan suspek dipercayai digunakan bagi memuat naik kenyataan berkenaan.

“Ketiga-tiga suspek itu ditahan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dengan niat hendak mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

“Polis akan membawa ketiga-tiga suspek ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini bagi proses reman,” katanya.

Semalam, polis mengenal pasti tiga lelaki yang memuat naik status palsu berunsur hasutan mengenai kejadian lelaki maut ditembak polis selepas menetak dua individu di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Isnin lalu.

Polis menembak mati seorang lelaki selepas suspek mengamuk dan menetak dua bekas rakan sekerjanya.

Seorang wanita mangsa tetak disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada hari sama manakala seorang lagi masih kritikal.

Berita berkaitan

Seorang mangsa tetak meninggal dunia

Amukan berdarah dalam kilang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 11:07 AM