GAMBAR hiasan
BERNAMA

PROGRAM Pemberian Air Percuma yang dilaksanakan kerajaan Selangor sejak 1 Jun 2008, akan dijenamakan sebagai Skim Air Darul Ehsan berkuat kuasa 1 Mac 2020.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam kenyataan berkata, keputusan itu berikutan peningkatan jumlah penduduk setiap tahun yang memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan negeri.

“Menerusi Skim Air Darul Ehsan, ia akan menyasarkan kumpulan penduduk dengan pendapatan isi rumah RM4,000 dan ke bawah, bagi pengguna domestik yang mempunyai meter individu.

“Manakala, bagi pengguna di pangsapuri kos rendah yang mempunyai meter pukal, syarat kelayakannya adalah sama, namun permohonan mereka perlulah mendapat pengesahan daripada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

“Setiap pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun air atau premis sahaja,” katanya, hari ini.

Katanya, Skim Air Darul Ehsan itu juga akan dapat menyasarkan golongan memerlukan selain menjamin perbelanjaan subsidi bersasar yang tepat.

Amirudin berkata, permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui laman web Sistem Smart lnisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) www.ssipr.selangor.gov.my atau mengisi Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan.

“Borang permohonan yang siap diisi dengan lengkap boleh dihantar melalui emel kepada [email protected] atau diserahkan di mana-mana kaunter perkhidmatan pejabat wilayah Pengurusan Air Selangor.

“Air Selangor akan bekerjasama dengan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pejabat daerah, penghulu, ketua kampung, JMB dan persatuan penduduk, bagi memberikan penerangan berhubung pelaksanaan Program Skim Air Darul Ehsan ini,” katanya.

Jelasnya, pendaftaran Skim Air Darul Ehsan itu akan bermula pada 30 September sehingga 31 Disember ini bagi mengemas kini semua data pemohon serta pengesahan pemohon yang layak melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya, proses semakan pula hanya akan bermula selepas tarikh tutup permohonan dan pemohon akan dimaklumkan berkenaan status permohonan mereka selewat-lewatnya pada penghujung Februari tahun depan.

“Sehingga tarikh tersebut, semua pemegang akaun berjumlah 1.6 juta yang sedang menikmati Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu akan terus menikmati rebat 20 meter padu sehingga 29 Februari depan,” katanya.

Sebanyak RM1.8 bilion sudah dibelanjakan bagi melaksana Program Pemberian Air Percuma setakat 31 Disember 2018, manakala sepanjang 2019 pula, kos pelaksanaannya terus meningkat sehingga mencecah RM220 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 11:29 AM