Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli dan Suraya Roslan


“ALHAMDULILLAH, syukur semua...memang inilah yang keluarga harapkan dalam keputusan Adib,” kata abang sulung Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Asraf, 31.

Mohd Asraf berkata, keputusan inkues Muhammad Adib sudah dimaklumkan kepada ibu dan bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, dan Asma Aziz, 52, yang kini di rumah mereka di Kampung Tebengau, Alor Setar, Kedah.

“Mereka akan datang ke Kuala Lumpur dan berbincang tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui di pintu masuk luar Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini.

Dia yang kelihatan gembira itu sebelum ini sering hadir ke prosiding inkues kematian adiknya itu.

Prosiding inkues yang dikendalikan Pengendali Faten Hadni Khairuddin itu bermula 11 Februari lalu dengan 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil memberi keterangan selain 137 eksibit dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 12:05 PM
    Mohd Asraf bersyukur dan gembira dengan keputusan inkues adiknya hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
    Mohd Asraf bersyukur dan gembira dengan keputusan inkues adiknya hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir