Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kanan) berkenan menerima zakat perniagaan daripada Azahari (tiga, kiri) berjumlah RM2.36 juta di Istana Bukit Kayangan Shah Alam hari ini. FOTO Bernama
Nur Lela Zulkipli


SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan RM7.7 juta daripada dua syarikat bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS), dalam satu majlis di Istana Alam Shah, Shah Alam hari ini.

Dua syarikat berkenaan adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan QSR Brands (M) Holdings Berhad.

Dalam majlis berkenaan, TNB yang diwakili Ketua Perkhidmatan Pelanggannya di Selangor, Datuk Ir Md Yuslan Md Yusof menyerahkan zakat perniagaan RM5.4 juta.

Sementara bagi QSR Brands yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Seri Azahari Mohamed Kamil menyerahkan zakat perniagaan RM2.3 juta.

Pembayaran zakat perniagaan oleh TNB itu adalah bagi tahun kewangan berakhir 2017 dan tahun lalu sementara bagi QSR Brands membabitkan tahun kewangan 2018.

Pada majlis sama TNB turut menerima sijil penghargaan Tuanku atas komitmen syarikat berkenaan menunaikan rukun Islam ketiga itu RM5 juta ke atas.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail; Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Sarbini.

Majlis penyerahan zakat kemudian diakhiri dengan bacaan doa oleh Imam Paduka Tuan Masjid Diraja Istana Alam Shah, Mohd Rasid Mahful.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 12:11 PM