Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli dan Suraya Roslan


SEMUA pihak diminta menghormati keputusan Mahkamah Koroner hari ini dan dipohon supaya tidak mempolitikkan lagi perkara itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, justeru, mereka (semua pihak) perlu menerima dengan hati terbuka keputusan Mahkamah Koroner hari ini.

Terdahulu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, akibat impak perbuatan jenayah disebabkan dua atau lebih lelaki yang tidak dikenali.

Zuraida berkata, beliau bersyukur inkues itu berjaya diselesaikan selepas enam bulan prosiding dijalankan.

“Inkues Muhammad Adib dijalankan dengan sebaik mungkin demi memberi keadilan kepada semua pihak terutama keluarga Allahyarham.

“Sehubungan itu, rakyat perlu terima keputusan ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini.

Rofiah ketika membacakan keputusan di Mahkamah Koroner pagi ini berkata, mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

Beliau berkata, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul seseorang di kawasan yang mana antara 20 ke 30 orang berkumpul.

Selain itu, beliau merumuskan kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara untuk melakukan siasatan dan pendakwaan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 12:24 PM
    Zuraida hadir ke mahkamah hari ini untuk mendengar keputusan prosiding inkues kematian Muhammad Adib. FOTO Roslin Mat Tahir
    Zuraida hadir ke mahkamah hari ini untuk mendengar keputusan prosiding inkues kematian Muhammad Adib. FOTO Roslin Mat Tahir