KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohd Rizal Abdullah


POLIS meminta orang ramai tidak mengeluarkan fatwa sendiri yang mengaitkan kematian individu dalam insiden di Pulau Pinang sebagai syahid.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mereka yang menyebarkan perkara itu tidak mengetahui perkara sebenar dan hanya sekadar ‘sedap mulut’ mengeluarkan fatwa.

Menurutnya, perkara itu langsung tidak dapat diterima dan beliau sudah meminta pegawainya membuka kertas siasatan terhadap mereka yang menyebarkan perkara itu.

“Ini perbuatan tidak bertanggungjawab. Saya ambil berat apa yang dikatakan itu. Apa pula kedudukan anak buah saya yang menembak untuk menyelamatkan keadaan,” katanya pada sidang sidang media selepas Hari Inovasi PDRM di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kangar, hari ini.

Katanya, pihaknya sudah mengeluarkan kenyataan berkaitan insiden itu dan individu terbabit bertindak sedemikian disebabkan terlampau taksub dengan video keganasan.

Terdahulu, individu terbabit berusia 25 tahun yang bekerja di kilang di Pulau Pinang ditembak mati selepas menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.

Penyelia wanita berusia 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang manakala lelaki yang juga pengurus keselamatan berusia 53 tahun dalam keadaan stabil.

Berita berkaitan

Siaplah, polis dah cari...

Kejadian amuk kes terpencil - KPN

Suspek tetak alami kemurungan

'Seorang mangsa tetak meninggal dunia'

Amukan berdarah dalam kilang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 3:22 PM