GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN tegas akan diambil kepada pemilik kondominium bersekongkol dalam penganjuran pesta liar yang kini menjadi trend terkini remaja berhibur berbanding mengunjungi kelab malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kini giat mengadakan operasi di kelab malam dan pesta liar di kondominium mewah yang menjadi trend remaja bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata, polis memberi amaran kepada pemilik kondominium supaya tidak bersekongkol dalam penganjuran pesta liar dan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka serta pihak terbabit dengan aktiviti itu.

“Sepanjang tempoh 1 Januari tahun hingga hari ini, sebanyak 99 serbuan dibuat membabitkan pemeriksaan terhadap 3,899 individu.

“Sebanyak 696 kes membabitkan 847 tangkapan dibuat di atas kesalahan membekalkan dadah, memiliki atau didapati positif ujian saringan air kencing dengan rampasan pelbagai dadah bernilai RM59,506,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mazlan berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 21 serbuan pesta liar dibuat dan 416 individu diperiksa membabitkan tangkapan 318 orang.

“Daripada tangkapan itu, 229 orang positif dadah dan 39 tangkapan remaja bawah umur disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(2) akta sama, Seksyen 39A(1) akta sama, Seksyen 12(2) akta sama dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Hasil operasi dijalankan, sebanyak enam kelab malam dibatalkan lesen dan 15 pusat hiburan ditutup dan operasi akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras gejala sosial dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata, selain itu bermula 1 Januari hingga semalam, sebanyak 942 serbuan membabitkan 4,703 pemeriksaan ke atas individu di pusat hiburan dan rumah urut.

Menurutnya, tangkapan 814 orang dengan pecahan seramai 505 lelaki dan 309 wanita manakala tangkapan warga asing seramai 2,175 orang iaitu 373 lelaki dan 1,802 wanita.

“Tangkapan warga asing tertinggi adalah Vietnam (523 orang), Thailand (496 orang), China (277 orang), Indonesia (314 orang) dan Bangladesh (211 orang).

“Sebanyak 215 pusat hiburan diambil tindakan dan dikenakan saman mengikut Seksyen 4(1) (b) Hiburan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan nilai rampasan RM327,603,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 7:12 PM