ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat suami isteri selepas kemalangan membabitkan pikap dan treler membawa muatan tong gas di Kilometer 57, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Ramli Ibrahim


SUAMI isteri maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki bertembung dengan treler membawa muatan tong gas di Kilometer 57 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh 1, Gua Musang, hari ini.

Kemalangan 4.35 petang itu menyebabkan mangsa, Muhamad Zaim Ismail, 24, berasal dari Felda Chalok Barat, Bandar Permaisuri, Terengganu dan isterinya, Siti RosminiMuhamad, 27, dari Jalan Kesedar Inn, Gua Musang parah di badan kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, mangsa menaiki Toyota Hilux dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Beliau berkata, sebaik sampai di kawasan selekoh, pikap dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas di sebelah kiri jalan dan berpusing memasuki laluan bertentangan.

“Berikutan itu, kenderaan dipandu Muhamad Zaim bertembung dengan treler dari arah Kuala Krai ke Gua Musang.

“Kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan yang remuk itu dan dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba,” katanya.

Mohd Taufik berkata, pemandu treler berusia 35 tahun dan berasal dari Bukit Sentosa, Rawang, Selangor tidak cedera.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 9:43 PM