WAN Saiful (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan Tabung SSPN untuk sekolah di seluruh negeri Terengganu. FOTO Rosli Iham.


PROSES bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dipermudahkan bagi memberi peluang kepada peminjam tabung berkenaan melangsaikan hutang mereka.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan sedang mengkaji beberapa mekanisma bagi memberi peluang kepada peminjam.

“Antara mekanisma dicadangkan ialah menetapkan jumlah bayaran balik mampu dijelaskan peminjam supaya tidak membebankan mereka.

“Cadangan itu dijangka akan disiapkan dalam masa terdekat sebelum diserahkan kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk dibentangkan kepada Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai di Chukai, semalam.

Wan Saiful berkata, sehingga kini pelbagai usaha dan kesedaran dilakukan PTPTN bagi memberi peluang kepada peminjam melunaskan hutang mereka.

Beliau berkata, sehingga Julai tahun ini, PTPTN berjaya mengutip bayaran balik berjumlah RM1.3 bilion dan pihaknya menyasarkan kutipan balik pinjaman sebanyak RM2 bilion sehingga hujung tahun ini.

“Jumlah kutipan berjaya dikutip sehingga Julai tahun ini dilihat berada pada landasan betul dan kita mahu mencapai sasaran kutipan sehingga RM2 bilion sehingga hujung tahun ini.

“Jumlah hutang terkumpul perlu dibayar semua peminjam mengikut tempoh masa ditetapkan sehingga kini adalah sebanyak RM40 bilion.

“PTPTN kini sedang mengenal pasti beberapa mekanisma termasuk membuat pelaburan jangka masa panjang bagi mengukuhkan lagi kedudukan kewangan tabung berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 12:56 AM