SULTAN Ismail Petra (kiri), Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis dan Sultan Muhammad V pada Januari 1989. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

SULTAN Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra adalah Sultan Kelantan ke-28 yang sangat dekat di hati rakyat ketika memerintah Kelantan.

Baginda memerintah Kelantan bermula 30 Mac 1980 sehingga September 2010 selepas disahkan gering ketika itu dan digantikan putera sulungnya Tengku Muhammad Faris Petra, yang kini bergelar Sultan Muhammad V.

Pengumuman kemangkatan baginda hari ini diumumkan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam sidang akhbar khas di Kota Darul Naim, Kota Bharu.

Selama memerintah, Sultan Ismail Petra banyak mendekatkan diri dengan rakyat sebagai payung yang menjadikan rakyat berbilang bangsa dan kaum di negeri itu hidup bersatu padu.

Baginda telah diputerakan pada Jumaat, 11 November 1949 bersamaan 19 Muharam 1369 Hijrah di Istana Jahar, Kota Bharu.

Baginda adalah putera tunggal dan anak bongsu kepada Almarhum Sultan Yahya Petra dan Almarhumah Raja Perempuan Zainab II.

Pada 11 November 1967 baginda dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan ketika berusia 18 tahun.

Pada 30 Mac 1980, baginda ditabalkan Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, Kota Bharu bagi menggantikan ayahandanya, Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Ketika itu baginda berusia 31 tahun.

Sultan Ismail Petra mengalami angin ahmar sejak 14 Mei 2009. Berikutan itu baginda diberi rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Kerajaan Negeri Kelantan kemudiannya melantik 10 pakar perubatan sebagai panel perubatan bagi memeriksa tahap kesihatan baginda.

Bagaimanapun, apabila gering baginda berterusan, panel pakar memutuskan baginda tidak mampu menjalankan tugas untuk memerintah negeri dan memutuskan putera sulungnya sebagai sultan yang baharu.

Membesar bersama empat kekanda iaitu Tengku Merjan, Tengku Rozan, Tengku Salwani dan Tengku Rohani, Sultan Ismail mendapat pendidikan menengah di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu sebelum belajar dengan guru khas Bahasa Inggeris.

Pada 8 Januari 2002, baginda dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah Kehormat dalam bidang Sains Politik dari Universiti Ramkhamhaeng, Thailand.

Pada 4 Disember 1968, Sultan Ismail Petra berkahwin dengan Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Istana Kota Lama, Kota Bharu.

Istiadat persandingan diraja dilangsungkan di Istana Balai Besar pada 12 Mac 1969 mengikut adat istiadat Raja-Raja Kelantan turun-temurun.

Menerusi perkahwinan itu, pasangan diraja berkenaan dianugerahi empat cahaya mata iaitu Tengku Muhammad Faris Petra (kini Sultan Kelantan bergelar Sultan Muhammad V) Tengku Muhammad Fa-iz Petra (kini Tengku Mahkota Kelantan), Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A’ishah Putri.

Sepanjang tempoh pemerintahan baginda, sebuah masjid dibina atas nama baginda iaitu Masjid al-Sultan Ismail Petra di Jalan Sultan Yahya Petra, Kubang Kerian.

Baginda juga mewujudkan Kolej Jamiah Islamiah Al-Islamiah Sultan Ismail Petra (JAIPETRA) dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra di Nilam Puri.

Sebuah sekolah menengah juga dibangunkan atas nama baginda iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra di Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu.

Dua sekolah kebangsaan juga dinamakan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (1) dan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (2).

Berita berkaitan

href="https://www.hmetro.com.my/utama/2019/09/501529/sultan-ismail-petra-mangk...">Sultan Ismail Petra mangkat [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 12:41 PM