Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Kewangan memaklumkan pembayaran rayuan bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 akan dilaksanakan mulai Isnin ini.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, pembayaran rayuan BSH 2019 ini akan membabitkan hampir 220,000 penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM120 juta.

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing menggunakan maklumat akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan rayuan BSH 2019,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, setakat ini, sejumlah RM4.2 bilion sudah disalurkan bagi keseluruhan fasa bayaran BSH 2019 (termasuk rayuan) kepada hampir 3.9 juta isi rumah yang diluluskan.

Guan Eng berkata, pembayaran itu turut mengambil kira bayaran kadar tambahan sebanyak RM120 bagi setiap orang anak tanggungan terhad kepada maksimum empat orang anak yang membabitkan hampir 3.6 juta anak penerima BSH.

“Seperti yang diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2019, kerajaan akan meneruskan program BSH demi kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) meringankan kos sara hidup mereka,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai BSH boleh menghubungi talian bebas rol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 12:59 PM
Digital NSTP Subscribe