ANTARA barangan tiruan dirampas KPDNHEP di sebuah premis di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. FOTO IHSAN KDPNHEP
ANTARA barangan tiruan dirampas KPDNHEP di sebuah premis di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. FOTO IHSAN KDPNHEP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BEBERAPA lelaki disangkakan pelanggan oleh peniaga barangan tiruan di sebuah premis di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, rupanya-rupanya adalah pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Difahamkan, tindakan pegawai KPDNHEP yang menyamar sebagai pelanggan berikutan kawasan itu dikawal ketat ‘tonto’ yang sering memantau pergerakan pihak berkuasa.

Susulan serbuan mengejut jam 3.40 petang semalam, KPDNHEP berjaya merampas pelbagai kasut, beg tangan, minyak wangi, cermin mata, dompet dan jam tangan berjenama terkenal.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Rosli Ahmad berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan wakil cap dagang sah di negara ini dan risikan selama seminggu.

Katanya, dalam serbuan ini, sebanyak 59 beg, 283 kasut, 25 dompet, 84 minyak wangi dan enam cermin mata dirampas disita kerana melanggar Akta Perihal Dagangan 2011.

“Jumlah barangan tiruan berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM38,000 berdasarkan kepada harga pasaran semasa.

“Ketika serbuan, ada beberapa pekerja berada dalam premis dan kita sudah mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan,” katanya.

Rosli berkata, premis berkenaan didapati menjual barangan tiruan pelbagai jenis dengan harga lebih murah dan mensasarkan pelanggan dari negara Timur Tengah sebagai pelanggan utama.

“Empat warga asing iaitu warga Iran dan Pakistan ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

“Salah seorang ditahan adalah pengarah syarikat yang memiliki premis berkenaan. Semua mereka disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 6:26 PM