KAMPUNG Baru di Kuala Lumpur. FOTO Azhar Ramli
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan menyambut baik pandangan diberikan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Amir Hamzah bahawa harga yang sepatutnya bagi tanah Kampung Baru adalah RM2,000 sekaki persegi (0.0929 meter persegi) dan bukannya RM850 sebagaimana yang ditawarkan.

Menterinya Khalid Abd Samad berkata, beliau berharap ia ini adalah pandangan kolektif DPMM sendiri dan ianya berdasarkan pernilaian yang dilakukan secara profesional.

“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan sekiranya DPMM mengusahakan agar tanah di Kampung Baru dibeli dengan harga RM2,000 sekaki persegi itu.

“Saya yakin berdasarkan pernilaian profesional yang dilakukan, DPMM akan mampu mendapatkan sokongan kewangan yang diperlukan untuk menjayakan pembelian ini.

“Jika DPMM bersetuju untuk membelinya dengan harga RM2,000 sekaki persegi, saya akan pastikan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Kemajuan Kampong Bharu (PKB) memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membolehkan DPMM membeli tanah penduduk Kampong Baru dengan harga yang ditawarkan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, beliau yakin hasrat DPMM ini mendapat kerjasama sepenuhnya dari pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru.

Khalid berkata, secara umumnya Kementerian Wilayah Persekutuan terbuka dan tidak menghalang mana-mana pihak untuk menawarkan harga yang lebih tinggi asalkan syarat-syarat pemilikan iaitu, milik Melayu, dipatuhi.

Sebelum ini, Amir berkata, pihaknya menyifatkan tindakan kerajaan menawarkan RM850 kaki persegi tanah Kampun Baru bertentangan dengan manifesto pilihan raya lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 10:42 PM