AZHARI menunjukkan rokok seludup yang dirampas, semalam. FOTO Fathil Asri.
Syaherah Mustafa


BATALION 7 Pasukan Gerakan Am (PGA 7) membuat tangkapan dan rampasan bernilai RM774,537.13 dalam tempoh dua minggu selepas mengambil alih penugasan Ops Wawasan Kelantan bermula 29 September lalu.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Azhari Nusi berkata, nilai itu membabitkan 43 kes dengan jumlah tangkapan 25 orang, atas pelbagai kesalahan dan penyeludupan.

Katanya, nilai rampasan paling tinggi dengan hasil kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang cecah RM454,000.

Ia membabitkan penyeludupan lembu, kambing, anak pokok kelapa dan sabut kelapa.

“Kita mengadakan kolaborasi dengan agensi penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Selain itu, pihak kami juga memperketatkan kawalan sekatan jalan raya (SJR), sekat pintas dan pos statik di kawasan Ops Wawasan bagi mengekang jenayah berkaitan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika didapati melanggar peraturan dan undang-undang di Malaysia,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Lubok Stol di Rantau Panjang, hari ini.

Operasi terbaharu semalam, PGA 7 merampas 14,640 batang rokok seludup bernilai RM21,960 ketika rondaan bermotosikal di Pangkalan Haram Workshop, Jalan Kasban, Kualan Jambu, Tumpat.

Azhari berkata, dalam kejadian jam 4.20 petang itu, anggotanya ternampak sekumpulan lelaki sedang memunggah satu kotak dan dua bungkusan plastik dipercayai dibawa dari tebing Sungai Golok.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota, mereka bertindak melarikan diri menggunakan kereta yang tidak dikenal pasti nombor pendaftaran dan meninggalkan barangan yang dipercayai diseludup.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis rokok seludup dan ia diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 1:53 PM