PETUGAS Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuat pemeriksaan kualiti air di Loji Kumbahan IWK, Bukit Mahkota, Bangi. FOTO AZHAR RAMLI
Mohamad Hussin


PELBAGAI agensi berkaitan masih mencari punca berlaku pencemaran bau air di Bandar Bukit Mahkota, Bangi, yang terletak berhampiran loji kumbahan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 24, Zainurin Arifin berkata, pihaknya kesal dengan kejadian berlaku kerana menjejaskan sebahagian pengguna, semalam.

Beliau berkata, selaku Ahli Majlis yang bertanggungjawab di kawasan ini, beliau mahu tindakan tegas di ambil terhadap mereka yang disyaki membuang sisa tidak dibenarkan.

“Pihak berwajib sedang mengesan punca menyebabkan pencemaran bau di sumber air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

“Saya bersama beberapa agensi turut meninjau di beberapa kawasan bagi mengenal pasti punca berlaku pencemaran bau yang dilaporkan berlaku berhampiran dengan loji kumbahan IWK di Bandar Bukit Mahkota.

“Ada dua kemungkinan sama ada dibuang pihak tidak bertanggungjawab atau kerja pengorekan tanah bagi kerja menaik taraf kabel di kawasan ini,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Zainurin berkata, pihak kontraktor sedang melakukan kerja pengorekan tanah di Persiaran Mahkota 2 berhampiran Masjid al-Takwa, dipercayai terkena saluran pembentungan yang menyebabkannya pecah.

“Kontraktor terbabit terpaksa membuat alternatif saluran bagi membuang air kumbahan ke dalam longkang sehingga mengalir ke Sungai Beranang dan Sungai Semenyih yang belum dirawat di loji kumbahan IWK.

“Bagaimanapun, kontraktor berjanji akan membaik pulih segera saluran pembentungan yang pecah bagi mengelak kejadian pencemaran air.

“Kawasan Zon 24 membabitkan kira-kira 100,000 penduduk dari Bandar Bukit Mahkota, Bandar Sri Putra dan Bandar Putri,” katanya.

Beliau berkata, tidak mungkin ia dibuang pihak industri di kawasan ini kerana Bandar Bukit Mahkota kebanyakan adalah kediaman dan bangunan komersial.

Sementara itu, penduduk Sungai Buah, Dengkil, Nazri Hadi Johari, 56, berharap kerajaan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melakukan perbuatan membuang sisa secara haram.

“Sudah banyak kali kita dengar kes membuang sisa yang boleh memudaratkan pengguna. Mereka seolah-olah mahu mencabar pihak berkuasa.

“Hukuman lebih berat patut dikenakan kepada mereka yang melakukan perbuatan itu kerana melanggar undang-undang,” katanya.

Nazri berkata, kawasannya turut terjejas dengan bekalan air petang, semalam, dan bersyukur kembali pulih pagi tadi.

Semalam, Harian Metro melaporkan sebanyak 204 kawasan membabitkan sejumlah 372,031 akaun pelanggan berdaftar di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Bagaimanapun, LRA Sungai Semenyih yang dihenti tugas selama 13 jam 30 minit berikutan pencemaran bau di sumber air mentah kembali beroperasi sepenuhnya 6.30 pagi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 7:20 PM