DR Khairul Hafidz Alkhair (bawah, tengah) bersama sebahagian doktor yang menyumbang kepakaran mempromosi mengenai kesihatan di media sosial menerusi MedTweetMY. FOTO Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin.
DR Khairul Hafidz Alkhair (bawah, tengah) bersama sebahagian doktor yang menyumbang kepakaran mempromosi mengenai kesihatan di media sosial menerusi MedTweetMY. FOTO Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin.
Suraya Roslan


PORTAL rasmi gabungan profesional kesihatan, MedTweetMY yang membolehkan orang ramai khususnya netizen mendapatkan khidmat nasihat kesihatan menerusi laman sosial mula mengorak langkah untuk mendapatkan geran bagi membiayai dana aktiviti berkaitan kesihatan.

Pengerusi MedTweetMY, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin berkata, sejak ditubuhkan pada 10 Januari 2016, MedTweetMY melalui 53 doktor terdiri daripada 38 disiplin berbeza perubatan dan menjadi antara platfom utama dalam menyebarkan serta membangkitkan isu penting kesihatan masyarakat melalui Twitter, Facebook, rancangan televisyen, radio dan beberapa segmen media cetak.

“Pengikut MedTweetMY di alam maya kini mencecah 1.2 juta ditambah semua pengikut ahli MedTweetMY.

“Banyak informasi separa benar berlegar di dalam media sosial menyebabkan netizen mengamalkan tips kesihatan salah.

“Oleh itu, kami sebagai pengamal media sosial dalam bidang perubatan mengambil tanggungjawab ini untuk menyebarkan maklumat kesihatan di media sosial untuk memperbetulkan semula persepsi netizen mengenai kesihatan,” katanya kepada Harian Metro.

Dr Khairul Hafidz Alkhair berkata, setelah tiga tahun ditubuhkan, MedTweetMY mengambil satu langkah ke depan untuk bergerak lebih jauh lagi dengan memohon geran untuk mendapatkan dana bagi membiayai program dan aktiviti promosi kesihatan di media sosial.

Beliau berkata, objektif untuk mendapatkan geran adalah menghasilkan bahan promosi kesihatan seperti penghasilan infografik, fotografi, video, animasi serta lukisan kreatif supaya penyampaian maklumat kepada netizen lebih berkesan.

“Selain itu, dana itu akan digunakan untuk mengadakan pertandingan berkaitan dengan kesihatan dalam memastikan netizen mendapat maklumat kesihatan dari semasa ke semasa.

“Sebelum ini, semua ahli MedTweetMY melakukan kerja secara percuma dan sukarela selepas merasakan bertanggungjawab menyebarkan maklumat kesihatan benar di media sosial untuk memperbetulkan semula persepsi netizen mengenai kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, mereka perlu membuat kempen mempromosi kesihatan supaya netizen cakna mengenai kesihatan di media sosial memandangkan media sosial adalah platform media sangat berpengaruh pada masa kini.

Menurutnya, permohonan geran untuk bantuan dana operasi organisasi itu dirasakan perlu kerana sudah tiba masanya MedTweetMY menubuhkan sekretariat supaya segala program dapat dirancang dengan lebih baik.

Katanya, selain daripada menjalankan aktiviti secara atas talian, pihaknya mahu melebarkan sayap untuk menjalankan aktiviti secara 'offline' pula.

“Antaranya adalah program mendekati masyarakat dalam memberi kesedaran mengenai kesihatan dapat dijalankan dengan dana yang bakal diterima.

“Oleh itu, MedTweetMY sudi bekerjasama dengan yayasan, badan atau korporat berminat untuk menaja program promosi kesihatan yang kami jalankan.

“Mereka yang berminat boleh menghubungi kami melalui emel [email protected] atau [email protected],” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 8:27 PM