JOHAN (kiri) bertemu dengan orang ramai pada Karnival Jom Heboh 2019 di pekarangan Stadium Negeri, Batu Kawan. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Shamsul Munir Safini


KARNIVAL Jom Heboh di pekarangan Stadium Negeri, Batu Kawan bermula semalam hingga hari ini berjaya menarik lebih 400,000 pengunjung.

Lebih banyak aktiviti dan acara menarik disediakan untuk pengunjung berbanding tahun sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN), Johan Ishak berkata, Karnival Jom Heboh mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Beliau berkata, pengunjung berpeluang beramah mesra bersama artis jemputan seperti Atiq Azman, Anas Ridzuan, Syafi DFKL, Sissy Imann dan Qody Mentor.

“Selain itu, pengunjung sempat bertemu dan beramah mesra dengan personaliti TV3 seperti Teh Syuhaida, Anim Ezati Rizki, Muaz Mohamed, Hefny Sahad, Anwar Afiq dan Adzrie Faiz yang akan membuat siaran lintas langsung di kaca televisyen.

“Pengunjung turut serta dalam pelbagai aktiviti untuk siaran langsung diadakan dan menonton demo masakan bersama Cef Naem dan banyak lagi aktiviti bersama selebriti,” katanya.

Johan berkata, pengunjung dihiburkan di pentas Hot Kool Jam dengan persembahan Ziana Zain, Ella, Ramlah Ram, Siti Nordiana, Ara Johari, Haiza, Datuk Hattan, Kugiran Masdo, Khai Bahar, Ismail Izani, Sufian Suhaimi dan Kumpulan Neon.

Menurutnya, pada penganjuran tahun ini, pihaknya menambah beberapa lagi tarikan terbaru di KJH termasuk ruang aktiviti E-Sukan dan Peraduan Jom Menang Kereta yang memberi peluang kepada pengunjung untuk memenangi kereta Nissan Serena 2.0L Highway Star.

Katanya, pada malam ini, pengunjung dapat berhibur di Konsert Jom Heboh bersama Kumpulan Ekamatra, Rahmad Mega, Azlan Typewriter, Amelina, Shiha Zikir, Wani Syaz dan Tajul.

Hadir sama adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Rozali Mohamud, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 8:32 PM