Mohd Azam Shah Yaacob


NAIB Ketua Puteri UMNO Nurul Amal Mohd Fauzi dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini bagi diambil keterangan berhubung dakwaannya bahawa lelaki mati ditembak polis di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 23 September berkaitan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan terhadap Nurul Amal dibuat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dengan niat hendak mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM).

“Siasatan terhadap Naib Ketua Puteri UMNO itu dibuat susulan satu laporan polis oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid semalam.

“Susulan laporan berkenaan, polis sudah berhubung dengannya (Nurul Amal) dan beliau akan hadir ke Bukit Aman hari ini bagi dirakamkan percakapan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, tiga individu yang ditahan polis pada 26 dan 27 September lalu kerana mengeluarkan kenyataan sama terhadap kematian lelaki yang ditembak polis sebelum ini, akan dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Pada 23 September lalu, seorang lelaki maut ditembak polis selepas mengamuk dan menetak dua bekas rakan sekerjanya dalam kejadian di kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, 5.45 petang.

Seorang wanita mangsa tetak disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada hari yang sama, manakala seorang lagi masih kritikal.

Susulan itu, pada 26 dan 27 September lalu, polis menahan tiga lelaki di Kedah dan Pulau Pinang kerana mengeluarkan kenyataan palsu berunsur hasutan.

Berita berkaitan

'Jangan pandai-pandai keluar fatwa'

Siaplah, polis dah cari...

Kejadian amuk kes terpencil - KPN

'Saya dengar jeritan, bunyi bising dan tembakan'

Suspek tetak alami kemurungan

'Seorang mangsa tetak meninggal dunia'

Amukan berdarah dalam kilang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 10:06 AM
NAIB Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Datuk Mohd Fauzi. FOTO NSTP