SEBAHAGIAN pelajar Malaysia yang menuntut di Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kassim, Pekanbaru ketika tiba di klia2 pada 25 September lalu. FOTO Fadli Hamzah.
BERNAMA

PELAJAR Malaysia di Riau, Sumatera yang dipindahkan ke Jakarta akibat jerebu baru-baru ini, kembali ke provinsi itu hari ini berikutan keadaan jerebu kembali pulih.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Zainal Abidin Bakar berkata, ia juga berikutan penamatan darurat jerebu di provinsi itu yang bermula hari ini.

Kumpulan pertama seramai 18 pelajar dijadual berlepas pada 11 pagi dari Jakarta ke Jambi dengan pesawat Citilink QG964 manakala, kumpulan kedua seramai 35 pelajar akan berlepas pada 5.05 petang dengan pesawat Citilink QG938 dari Jakarta ke Pekanbaru.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Riau yang sebelum ini melebihi bacaan 500 menurun ke bacaan bawah 150 sejak dua hari lalu.

“Semua pelajar Malaysia yang ditempatkan sementara di Malaysia Hall, pulang hari ini ke Jambi dan Pekanbaru, ” katanya pada majlis perpisahan bersama pelajar berkenaan di Malaysia Hall di Jakarta, hari ini.

Mereka dipindahkan pada 25 September (kumpulan pertama seramai 35 pelajar) dan 26 September lalu (kumpulan kedua seramai 18 pelajar), selepas Gabenor Riau Syamsuar mengisytiharkan provinsi itu berstatus darurat jerebu bermula 23 September berikutan IPU mencecah bacaan 700.

Berikutan hujan sejak beberapa hari lalu, dan keadaan jerebu semakin pulih, Syamsuar mengumumkan status itu ditamatkan hari ini.

Pelajar terbabit dipindahkan ke Jakarta berikutan masih dalam proses permohonan visa pelajar atau KITAS (Kartu Izin Tinggal Terbatas), manakala lebih 100 pelajar lagi dipindahkan atau pulang ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 11:45 AM