SHAHROL Azral ketika hadir pada perbicaraan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
SHAHROL Azral ketika hadir pada perbicaraan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Murni Wan Omar dan Sarah Zulkifli


PROSES pengambilalihan ekuiti Genting Sanyen (M) Sdn Bhd oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibuat secara tergesa-gesa dan tidak dibentangkan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, pada pandangannya proses pengambilalihan itu tergesa-gesa berbanding ketika pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB).

“Semua kelulusan hanya melalui resolusi pekeliling pengarah dan tidak dibentangkan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah.

“Keadaan tergesa-gesa ini disebabkan tekanan daripada Jho Low (Low Taek Jho) yang menyatakan pinjaman dan jaminan daripada International Petroleum Investment Company (IPIC) ini harus disegerakan kerana ada faktor kerjasama G to G (kerajaan dengan kerajaan),” katanya.

Shahrol berkata, ia mesti diselesaikan segera sebelum Pilihan Raya Umum (PRU-13) bagi memastikan Najib dapat memberi perhatian kepada urusan itu sebelum sibuk berkempen.

“Selepas itu, saya dipindahkan ke PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan) dan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif diambil alih Hazem Abdul Rahmah.

“Saya tidak tahu menahu secara terperinci berhubung opsyen Aabar (Aabar Investment PJS Limited) ditamatkan kerana tidak terbabit dengan perbincangan itu.

“Bagaimanapun saya mengetahui maklumat ini secara am melalui media sahaja,” katanya.

Terdahulu, Shahrol memberitahu mahkamah pengambilan Genting Sanyen selesai melalui pembiayaan menggunakan pinjaman jangka masa pendek berjumlah RM700 juta dan terbitan bon berjumlah RM7.35 bilion (AS$1.75 bilion).

“Saya akui memang terdapat lebihan banyak daripada hasil pembiayaan untuk pengambilalihan itu. Namun saya ingin tegaskan sekali lagi saya langsung tidak tahu menahu bahawa lebihan wang untuk pembayaran deposit sekuriti berjumlah AS$790,354,855 kepada Aabar adalah untuk diseleweng oleh pihak lain.

“Pembayaran deposit sekuriti dibuat berdasarkan dokumentasi disediakan Jasmine Loo, Terence Geh dan Tim Leissner. Setelah penyiasatan dilakukan barulah saya tahu ia diaturkan Jho Low untuk membolehkan wang 1MDB masuk ke dalam akaun dikawal olehnya untuk tujuan penyelewengan seterusnya dimasukkan ke akaun milik Najib,” katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah haria ini masih berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 3:36 PM