Gambar Hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


ORANG ramai dinasihat menghentikan penggunaan dan pembelian empat produk kosmetik selepas dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat produk berkenaan termasuk Dnars Gold Glowing Serum (Day); Dnard Gold Balen Cream (Night); Tresors Natural Herba Cream dan Labeauty Booster Night Cream.

Beliau berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berkenaan.

“Notifikasi produk kosmetik itu dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.

“Oleh itu, produk kosmetik itu tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

“Produk yang mengandungi triamcinolone acetonide, betamethasone valerate, hydroquinone, chloramphenicol, sulfamethoxazole, trimethoprim, dan ketoconazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan tanpa pengawasan profesional kesihatan dan secara tidak terkawal boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, triamcinolone acetonide dan betamethasone valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

Dr Noor Hisham berkata, hydroquinone pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Antibiotik (chloramphenicol, sulfamethoxazole, trimethoprim) dan antifungal (ketoconazole) yang diguna secara tidak terkawal juga boleh meningkatkan risiko kerintangan dan seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan.

“Selain itu, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

“Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Katanya, beliau meminta penjual dan pengedar produk kosmetik itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu serta-merta bagi mengelak untuk disabit kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Dr Noor Hisham berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 6:53 PM