KEADAAN bangunan lama yang pernah menjadi kompleks pentadbiran daerah Larut Matang dan Selama yang usang. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


DIBIARKAN usang dan berisiko, itu gambaran boleh diberikan terhadap dua bangunan bersejarah di tengah bandar yang menjejaskan imej Taiping sebagai bandar bersejarah, selain mengundang bahaya kepada penduduk berhampiran.

Bekas kompleks pentadbiran daerah Larut Matang dan Selama (LMS) serta Rumah Rehat Bandar di Jalan Stesen itu bukan sahaja tidak terjaga, malah kini ditumbuhi semak hingga mengundang risiko kehadiran haiwan berbisa, selain menjadi tempat kegiatan aktiviti tidak bermoral.

Tinjauan mendapati bangunan itu kini tidak ubah seperti rumah agam usang yang lama terbiar hingga dipenuhi tumbuhan menjalar selain penemuan tin berbau gam dalam beberapa bilik kosongnya, menimbulkan curiga ia digunakan bagi lokasi individu melakukan aktiviti menghidu gam.

Bangunan Rumah Rehat Bandar bersebelahan kompleks LMS itu yang juga rumah rehat pertama di Tanah Melayu, kini terlindung dengan pagar besi namun turut dipenuhi semak-samun serta tumbuhan menjalar di pekarangan bangunan itu.

Penduduk, Kirana Ismail, 34, berkata, keadaan kedua-dua bangunan itu menyumbang kehadiran binatang berbisa seperti ular yang kerap dilihat berhampiran tempat kerjanya, selain salah satu dari bangunan terbabit menjadi tempat menghisap dadah serta lokasi melepak kutu rayau.

“Saya ada nampak pembersihan berkala dilakukan, itu pun berdasarkan kepada aduan orang ramai dan setakat ini masih belum nampak adanya usaha penambahbaikan terhadap struktur kedua-dua bangunan itu.

“Biarpun bangunan itu dianggap bersejarah dan warisannya harus dikekalkan, namun tidak bermakna penjagaannya dibiarkan terabai apatah lagi lokasinya terletak di pusat bandar sekali gus mencacatkan pemandangan khususnya di mata pelancong,” katanya.


KOMPLEKS pentadbiran daerah Larut Matang dan Selama yang mencacatkan imej Taiping. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Peniaga, Billy Tan Swee Wei, 35, pula berkata, kedua-dua bangunan itu sudah terbiar sejak lebih 11 tahun lalu dan ia sangat mencacatkan imej bandar itu disebabkan hampir dengan jalan utama.

“Sampai bila keadaan ini akan berlarutan tanpa pemuliharaan sewajarnya, adakah bila orang buat aduan atau festival yang membabitkan kehadiran orang kenamaan, baru ada tindakan?” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Borhan Abdul Halim berkata, pihaknya sedang dalam proses berunding bagi mendapatkan semula hak milik kedua-dua bangunan terbabit yang berada di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

“MPT sedang berusaha mendapatkan kembali kedua-dua bangunan terbiar itu termasuk dengan mengambil kira kos dibelanjakan oleh PKNP bagi menyelenggara bangunan terbabit sepanjang berada di bawah seliaan mereka.

“Biarpun saya difahamkan perancangan asal PKNP adalah untuk membina hotel di tapak bangunan terbabit, namun MPT akan bersikap terbuka menerima cadangan mana-mana pihak dalam memajukan kedua-dua bangunan itu sekiranya rundingan itu berjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 12:40 AM