LELAKI parah dipercayai disamun sekumpulan lelaki bersenjata di tempat letak kereta belakang Kondominium Sandlands, Lebuh Sandlands, Georgetown. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


LELAKI koma selepas dipukul dengan kayu dalam kejadian samun di parkir kereta berhampiran kondominium di Lebuh Sandilands, di Georgetown, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 2 pagi itu, mangsa yang juga peniaga berusia 33 tahun, kini masih belum sedarkan diri dan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami pendarahan dalam otak dan patah tulang muka.

Ketua Polis Daerah Timut Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis pada mulanya menerima panggilan pada 2.07 pagi daripada seorang lelaki selepas dia melihat mangsa yang parah terbaring di tempat kejadian.

Menurutnya, susulan daripada itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan mangsa kemudian dikejarkan ke HPP untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pihak hospital menyatakan yang tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan barang berharga ditemui pada mangsa dan polis kemudian melakukan siasatan di lokasi kejadian.

“Hasil keterangan daripada pengawal keselamatan kondominium terbabit, dia mendakwa mangsa memang kerap dilihat masuk ke premis itu untuk mengambil beberapa wanita warga asing dan menghantar mereka ke tempat kerja,” katanya.

Che Zaimani berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menemui Honda Civic hitam milik mangsa di tempat parkir kondominium terbabit.

“Semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, tiga lelaki dilihat menaiki dua motosikal dengan seorang daripadanya memukul kepala mangsa menggunakan kayu sebelum mengambil barang berharga miliknya.

“Semua suspek kemudian melarikan diri dan meninggalkan mangsa yang terbaring dalam keadaan parah di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, susulan daripada itu, polis berjaya mengesan dan menahan dua suspek berusia 23 dan 25 tahun dalam serbuan di hadapan bengkel motosikal di Jalan Air Itam, Ahad lalu.

“Ujian air kencing mendapati dua suspek terbabit positif methamphetamine dan mereka juga masing-masing mempunyai dua dan satu rekod lampau bersabit kes dadah.

“Mereka juga turut mengaku terbabit dalam kes pukul dan samun itu bersama seorang lagi rakan yang kini sedang diburu polis,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 9:47 AM