REMAJA lelaki berusia 13 tahun yang menjadi mangsa dera lelaki berusia 26 tahun sejak beberapa bulan lalu ditemui di Jeram, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


REMAJA lelaki kini trauma dan ketakutan selepas mendakwa menjadi mangsa dera lelaki yang berperwatakan alim di Jeram, 21 September lalu.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa berusia 13 tahun mendakwa lebam di seluruh badan selepas dipijak dan ditumbuk di perut selain turut diraba kemaluannya.

Lebih menakutkan, anak kedua daripada lima beradik itu turut diugut bunuh lelaki berusia 26 tahun itu supaya tidak memberitahu perkara itu pada sesiapa termasuk ahli keluarga.

Difahamkan, kejadian yang menimpa mangsa tular di media sosial sejak 29 September lalu yang rata-ratanya mendapat kecaman netizen.

Ibu mangsa berusia 36 tahun yang enggan dikenali berkata, anaknya berkenalan dengan lelaki itu di masjid sekitar Jeram, Ogos tahun lalu.

“Pada waktu itu, lelaki berkenaan mempelawa anak belajar mengaji di rumahnya. Jadi, anak menerima pelawaan itu tanpa rasa syak wasangka.

“Kemudian, pada 13 Julai lalu, anak pergi ke Puncak Alam bersama lelaki itu untuk beberapa urusan. Sewaktu pulang, saya perasan tangan kiri anak patah dan ketika ditanya, anak jawab dia terhentak di dinding,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kediamannya di Kuala Selangor, hari ini.

Wanita itu berkata, lelaki itu membawa anaknya ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk rawatan dan membawa pulang ke rumah, hari sama.

“Pada 21 September lalu, lelaki itu sekali lagi membawa anak keluar dan kali ini, anak pulang dengan bibir berdarah. Saya bertanya kenapa bibir berdarah. Anak tidak menjawab dan terus ke rumah kawannya.

“Setengah jam kemudian, saya mendapat WhatsApp anak dan saat itu terbongkar rahsia dia didera lelaki itu sepanjang mereka berkawan,” katanya memaklumkan laporan dibuat di Balai Polis Jeram untuk tindakan lanjut.

Ibu mangsa berkata, anaknya kemudian dihantar ke HTK bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Selepas kejadian itu, anak saya yang dahulunya periang dan aktif bertukar pendiam selain kerap bertanya bila lelaki itu akan ditangkap.

“Kami sekeluarga berharap pihak berkuasa mengesan individu itu dengan segera dan mengenakan hukuman setimpal sebelum lebih ramai akan menjadi mangsanya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan mengesahkan menerima laporan berkenaan mengenai kejadian itu.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

“Suspek juga dipercayai menghilangkan diri berikutan tiada di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 2:21 PM