Lori tangki bermuatan asid sulfrik yang terbalik di Slim River hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Muhammad Apendy Issahak


PEMANDU cedera selepas lori tangki muatan asid sulfrik (UN1830) yang dipandu terbabit kemalangan dan terbalik di Kilometer 373 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Slim River hari ini.

Lori bermuatan 24,810 kilogram (kg) itu terbalik di bahu jalan dan dipercayai berlaku tumpahan bahan kimia yang dibawa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 3.53 petang membabitkan kemalangan sebuah lori tangki membawa muatan bahan kimia.

“Setibanya jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River mendapati kemalangan membabitkan lori tangki jenis isotank dengan muatan ‘sulphuric acid’ (UN1830) dengan kelikatan 98 peratus yang terbalik di bahu jalan.

“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) sudah tiba di lokasi kejadian dan sedang melakukan penilaian bahaya di kawasan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu lori berusia 32 tahun cedera dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Lori berkenaan tiada kelindan dan hanya pemandu terbabit dalam kemalangan itu.

“Operasi diketuai Mohd Fazrul Azwan Norman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 7:48 PM