FOTO Hiasan
BERNAMA

KERAJAAN Arab Saudi kini menawarkan e-visa (elektronik visa) bagi tempoh setahun untuk rakyat Malaysia yang ingin melancong ke negara itu bermula bulan ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan Arab Saudi menawarkan visa untuk tiga bulan atau 90 hari bagi tujuan pelancongan ke negara itu.

“Mereka kini ‘buka pintu, buka hati’ kepada kita, dasar juga dilonggarkan yang mana bagi pelancong Malaysia yang mahu ke Arab Saudi hanya perlu membayar 300 Saudi Riyal (RM335.68) saja dan mereka boleh keluar masuk ke negara itu dalam tempoh setahun.

“Mereka (Arab Saudi) juga akan menghantar pegawai sektor pelancongan ke Malaysia untuk mengenal pasti cara mengendalikan pentadbiran pelancongan di negara ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan pameran ‘The Great Steppe: History and Culture’ di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, menerusi tawaran e-visa itu juga, ia dapat merancakkan lagi sektor pelancongan negara.

Pada 28 September lalu, Mohamaddin dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, keupayaan Malaysia membangunkan sektor pelancongan negara berjaya menarik kerajaan Arab Saudi untuk mengadakan hubungan dua hala yang lebih erat dalam sektor pelancongan.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Lembaga Pengarah Saudi Commision of Tourism and National Heritage Ahmad Aqil Al Khatib ketika menerima kunjungan hormat Mohamaddin ke Riyadh.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran pameran The Great Steppe: History and Culture’ bertepatan dengan misi Tahun Melawat Malaysia 2020 dalam memperkenalkan Malaysia kepada negara luar.

“Kita jangka 50,000 pengunjung menghadiri pameran yang sangat bermakna ini sepanjang sebulan ia diadakan,” katanya.

Pameran bermula hari ini sehingga 31 Oktober itu menampilkan pelbagai artifak Kazakhstan selain kostum ‘Manusia Emas’ yang ditemui sekitar abad ke-5 sebelum Masihi diperbuat daripada lebih 4,000 kepingan emas berasingan dan kebanyakan bermotifkan haiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 9:56 PM