Mangsa maut di lokasi akibat parah di kepala. FOTO Ihsan Pembaca
Norizuan Shamsuddin


TUKANG perabot maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang treler rosak yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 280 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Mak Lagam, Kemaman semalam.

Dalam kejadian 5.35 petang itu, mangsa, Abdul Halim Abdullah, 27, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika treler dipandu lelaki berusia 46 tahun bersama kelindan dalam perjalanan dari Dungun, Terengganu menuju ke Jasin, Melaka.

Katanya, apabila tiba di lokasi treler mengalami kerosakan dan pemandu menghentikan kenderaan di lorong kecemasan.

“Ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Honda Dash dari Kijal menuju ke Kuantan, Pahang.

“Apabila tiba di lokasi motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah belakang merempuh treler terbabit.

“Kejadian menyebabkan mangsa terjatuh dan terseret ke tengah jalan.

“Mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu dan kelindan lori tidak mengalami kecederaan,” katanya hari ini.

Hanyan berkata, mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 1:27 AM